
Pakistan merekodkan tahun kedua paling panas dalam tempoh 65 tahun pada 2025 – Foto: AP
ISLAMABAD – Pakistan merekodkan tahun kedua paling panas dalam tempoh 65 tahun pada 2025, sekali gus menyerlahkan risiko perubahan iklim yang semakin meningkat dan memburukkan kejadian banjir serta mengancam ekonomi negara itu, menurut Tinjauan Ekonomi 2025-26 yang dikeluarkan pada Khamis.
Tinjauan itu menyatakan bahawa 2025 menyusuli 2024, iaitu tahun paling panas yang pernah direkodkan, menjadikan dua tahun berturut-turut dengan suhu luar biasa tinggi. Purata suhu tahunan Pakistan mencapai 23.9 darjah Celsius pada 2025, iaitu 1.09 darjah Celsius melebihi purata jangka panjang 22.8 darjah Celsius.
“Perubahan iklim bukan lagi ancaman yang jauh atau bersifat abstrak kepada negara ini, tetapi merupakan realiti semasa,” menurut laporan itu yang turut memberi amaran mengenai cabaran ekonomi dan sosial yang semakin meningkat akibat kejadian cuaca ekstrem.
Kawasan utara Pakistan mengalami peningkatan suhu yang ketara, dengan anomali suhu mencecah 1.24 darjah Celsius di Gilgit-Baltistan, 1.29 darjah Celsius di barat laut Khyber Pakhtunkhwa dan 1.56 darjah Celsius di Wilayah Azad Kashmir, yang masing-masing mencatat suhu tahunan tertinggi dalam tempoh 65 tahun.
Menurut tinjauan itu, Pakistan, walaupun menyumbang kurang daripada satu peratus daripada pelepasan gas rumah hijau global semasa dan kira-kira 0.4 peratus secara sejarah, kekal antara negara yang paling terdedah kepada kesan perubahan iklim.
Pakistan menerima sebanyak 288.5 milimeter hujan pada 2025, kira-kira tiga peratus lebih rendah daripada purata jangka panjang, walaupun corak taburan hujan tidak sekata antara wilayah. Hujan monsun dari Julai hingga September adalah 23 peratus lebih tinggi daripada purata, sekali gus menyumbang kepada kejadian banjir meluas di seluruh negara.
Menurut laporan itu, peningkatan suhu mempercepatkan pencairan glasier dan mengubah dinamik monsun, menyebabkan kejadian hujan lebat yang lebih ekstrem serta meningkatkan risiko banjir. – Bernama



