Media Iran dedah butiran draf memorandum 14 syarat dengan AS

Media Iran dedah butiran draf memorandum 14 syarat dengan AS

ISTANBUL – Media Iran pada Jumaat mendedahkan butiran draf memorandum persefahaman (MoU) 14 syarat antara Teheran dan Washington, yang menunjukkan perbezaan ketara berbanding laporan portal berita Axios sebelum ini berhubung pelepasan sekatan, aset Iran yang dibekukan, komitmen pembinaan semula serta skop rundingan masa depan.

Menurut agensi berita Mehr, draf 14 syarat itu masih tertakluk kepada semakan akhir dan kelulusan oleh pihak berkuasa Iran yang berkaitan, lapor Anadolu Ajansi.

Walaupun kedua-dua versi laporan itu berkongsi beberapa elemen utama, perbezaan besar dikesan dalam kaedah pelaksanaan objektif berkenaan.

Axios sebelum ini melaporkan mengenai “pelanjutan” gencatan senjata sedia ada selama 60 hari, termasuk di Lubnan, sementara rundingan nuklear diteruskan. Sebaliknya, draf yang diterbitkan oleh Mehr menuntut penghentian permusuhan “secara serta-merta dan kekal” di semua barisan hadapan, termasuk di Lubnan, disusuli dengan rundingan selama 60 hari ke arah satu perjanjian nuklear yang muktamad.

Kedua-dua laporan itu turut berbeza mengenai pembukaan semula Selat Hormuz. Axios melaporkan pembukaan semula laluan air strategik itu “secara serta-merta” tanpa tol selain pemulihan jumlah penghantaran normal, tetapi draf yang dilaporkan media Iran menetapkan pembukaan semula selat itu dalam tempoh 30 hari dan perlu diselaraskan dengan Iran.

Isu pelepasan sekatan turut menjadi titik perbezaan utama.

Menurut Axios, kelonggaran sekatan oleh Amerika Syarikat (AS) akan dikaitkan dengan pematuhan Iran terhadap perjanjian itu.

Namun, draf yang disiarkan Mehr menuntut langkah yang lebih jauh, termasuk penggantungan sekatan ke atas minyak, produk petrokimia dan derivatif Iran, akses penuh kepada sumber kewangan Iran, serta penarikan balik semua sekatan utama dan sekunder AS, selain langkah berkaitan yang dikenakan melalui Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) serta Lembaga Gabenor Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA).

Pengendalian aset Iran yang dibekukan juga menunjukkan perbezaan besar.

Axios melaporkan bahawa Iran mungkin mendapat akses “kepada sebahagian” dana yang dibekukan untuk pembelian barangan kemanusiaan melalui mekanisme yang dibincangkan dengan Qatar. Sebaliknya, draf Mehr menuntut pelepasan aset Iran yang dibekukan bernilai AS$24 bilion semasa tempoh rundingan 60 hari, dengan separuh daripada dana itu perlu disediakan sebelum rundingan muktamad bermula.

Satu lagi perbezaan besar melibatkan bantuan pembinaan semula dan jaminan pasca-perang.

Walaupun laporan Axios tidak menyentuh tentang bantuan pembinaan semula, draf yang diterbitkan Mehr menyatakan bahawa AS dan sekutunya dikehendaki membentangkan rancangan untuk membina semula Iran dengan nilai sekurang-kurangnya AS$300 bilion.

Draf yang dilaporkan media Iran itu turut merangkumi beberapa peruntukan yang tidak disebut dalam laporan Axios, termasuk komitmen AS untuk tidak campur tangan dalam hal ehwal dalaman Iran, menghormati kedaulatan Iran, dan mengundurkan tentera AS dari kawasan sekitar Iran.

Ia juga mengandungi ikrar AS untuk tidak menambah penempatan tentera di rantau berkenaan dan tidak mengenakan sekatan baharu sepanjang tempoh rundingan.

Mengenai isu nuklear, kedua-dua versi mempunyai sedikit pertindihan.

Axios melaporkan satu rangka kerja untuk menangani simpanan uranium diperkaya Iran, dengan langkah nuklear seterusnya bergantung pada perjanjian susulan. Draf disiarkan Mehr pula menyatakan bahawa Iran akan menegaskan semula komitmennya di bawah Perjanjian Pengawalan Senjata Nuklear (NPT) untuk tidak menghasilkan senjata nuklear.

Perbezaan paling penting adalah melibatkan skop rundingan masa depan.

Menurut draf yang diterbitkan oleh Mehr, perjanjian muktamad hanya akan terhad kepada bahan nuklear diperkaya, aktiviti pengayaan, pelepasan sekatan, dan program pembangunan semula ekonomi Iran. Ia secara jelas mengecualikan sebarang perbincangan mengenai program peluru berpandu Iran serta sokongan terhadap “kumpulan penentang”.

Draf itu seterusnya menyatakan bahawa mana-mana perjanjian muktamad akan disahkan melalui resolusi UNSC dan mekanisme pemantauan akan diwujudkan bagi menyelia pelaksanaan – peruntukan yang tidak dinyatakan dalam laporan Axios.

Mehr berkata teks berkenaan masih memerlukan semakan dan kelulusan oleh pihak berkuasa berkaitan di Iran sebelum ia boleh diterima pakai secara rasmi.

Dalam perkembangan berkaitan, Presiden Donald Trump memaklumkan pada Khamis satu perjanjian untuk menamatkan secara kekal perang AS-Israel terhadap Iran boleh ditandatangani seawal hujung minggu ini, dalam satu hari yang didominasi perkembangan pantas.

Iran pada Khamis menyatakan bahawa “bahagian utama” teks persefahaman dengan AS telah dimuktamadkan, namun mendakwa Washington menjejaskan kemajuan rundingan berikutan pendirian yang sering berubah-ubah.

Sementara itu, tentera AS melancarkan serangan hari kedua pada Khamis terhadap beberapa sasaran di Iran, susulan tindakan menembak jatuh sebuah helikopter Apache di ruang udara Selat Hormuz.

Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) Iran pula mendakwa 18 sasaran utama tentera AS telah digempur di pangkalan udara Ali Al Salem dan Ahmad Al Jaber di Kuwait, Pangkalan Udara Sheikh Isa di Bahrain, serta sebuah pangkalan yang menempatkan jet pejuang Amerika di Jordan.

Ketegangan serantau semakin memuncak ekoran serangan terbaharu AS ke atas Iran, yang disusuli pengumuman Tehran untuk menutup Selat Hormuz daripada laluan trafik maritim. – Bernama

 

 

 

 

Scroll to Top