BELFAST – Biji bunga matahari dan tin minyak sapi yang hangus bertaburan di hadapan sebuah kedai runcit milik komuniti etnik minoriti yang musnah dibakar dalam rusuhan antiimigran di sekitar ibu kota Ireland Utara minggu ini.
Pada Khamis, Mohammad, pengurus pasar raya Sham yang rentung dijilat api, dilihat duduk di tepi jalan sambil menghisap rokok – tabiat lama yang kembali diamalkannya selepas 11 tahun berhenti akibat tekanan yang dihadapi sejak beberapa hari lalu.
“Semuanya sudah terbakar, tiada apa yang tinggal,” katanya mengenai kedai yang menjual pelbagai produk dari Syria dan negara-negara lain.
Mohammad, yang enggan mendedahkan nama penuhnya atas faktor keselamatan, berpindah dari Syria ke Belfast pada 2017 dan mengimbau layanan mesra penduduk tempatan ketika mula menetap di bandar itu.
“Keadaan menjadi semakin buruk dalam tempoh dua hingga tiga tahun kebelakangan ini,” katanya kepada AFP dengan nada suara bergetar, sementara bau plastik terbakar masih menyelubungi kawasan berkenaan.

Sebuah bas Glider yang hangus terbakar menjadi saksi kemusnahan selepas insiden keganasan yang melanda Belfast. Foto AFP
Keganasan tercetus di beberapa kawasan kejiranan di Belfast pada lewat malam Selasa, sehari selepas rakaman ngeri memaparkan seorang lelaki ditikam secara kejam di sebatang jalan di utara pusat bandar itu tular di media sosial.
Perusuh bertopeng membakar kenderaan, premis perniagaan dan rumah kediaman, dengan beberapa rumah milik keluarga imigran serta kediaman yang dikaitkan dengan penempatan pencari suaka menjadi sasaran.
Beberapa kawasan turut menyaksikan insiden keganasan pada malam Rabu, meskipun dalam skala lebih kecil.
Pelarian Sudan, Hadi Alodid, 30, didakwa atas pertuduhan cubaan membunuh dan beberapa kesalahan lain berhubung insiden tikaman yang mengejutkan itu.
‘Kami takut’
Menteri Ireland Utara dalam kerajaan Britain, Hilary Benn berkata, pihak berkuasa menerima laporan mengenai individu yang ditahan di dalam kenderaan mereka untuk disoal tentang kewarganegaraan ketika dalam perjalanan ke tempat kerja.
“Perkara ini sama sekali tidak boleh diterima,” katanya kepada Sky News pada Khamis.

Petugas media meninjau kereta dan rumah yang musnah terbakar selepas demonstrasi bertukar ganas di timur Belfast. Foto AFP
Husnain, 27, seorang pelajar dari Pakistan, mengakui bimbang dengan keganasan yang tercetus selepas video tikaman itu menjadi tular.
“Inilah sistemnya, perkara seperti ini tidak akan berakhir. Ada pihak melakukan jenayah, tetapi kami pula yang terpaksa menanggung akibatnya,” katanya.
Menurutnya, ramai rakan dan ahli keluarga beragama Islam memilih untuk tidak keluar rumah sejak protes bermula.
“Kami takut… kami menjalani kehidupan dalam persembunyian,” katanya.
Pusat Islam Belfast yang sering dikunjunginya pula ditutup pada Selasa dan Rabu buat kali pertama sejak ditubuhkan hampir 50 tahun lalu.
Pengerusinya, Mohammed Arshed berkata, suasana ketika ini agak tegang.
Arshed, 73, serta beberapa pihak lain mengakui populasi imigran di Belfast meningkat dengan pesat sejak beberapa tahun kebelakangan ini dan keadaan itu mungkin menimbulkan kebimbangan dalam kalangan segelintir masyarakat.

Pengerusi Belfast Islamic Centre, Mohammed Arshed, ditemu bual AFP di Belfast selepas masjid berkenaan terpaksa ditutup buat kali pertama dalam sejarah susulan dua malam berturut-turut insiden keganasan. Foto AFP
“Namun, tiada sebab untuk perkara itu berlaku kerana kebanyakan mereka yang datang ke sini ialah golongan yang cintakan keamanan,” katanya. – AFP



