Leon Fuat kekal optimis terhadap prospek industri keluli

Leon Fuat kekal optimis terhadap prospek industri keluli

PETALING JAYA:Leon Fuat Berhad (Leon Fuat) pengeluar dan peniaga produk keluli yang mengkhusus dalam keluli panjang dan rata bergulung kekal optimis berhati-hati dengan prospek industri, disokong oleh permintaan domestik daripada sektor infrastruktur, pembuatan dan pembangunan industri yang berterusan.

Pengarah Eksekutif Leon Fuat, Calvin Ooi Shang How berkata, fokus kumpulan kini adalah kepada pelaksanaan yang berdisiplin, pengurusan inventori yang berhemat serta peningkatan kecekapan operasi merentasi semua segmen perniagaan.

“Walaupun industri keluli kekal mencabar akibat faktor luaran, asas pelanggan yang pelbagai serta keupayaan operasi bersepadu memberi kekuatan kepada kumpulan untuk terus berkembang secara mampan,” katanya dalam kenyataan.

Menurut beliau, sokongan pemegang saham menjadi pemangkin penting kepada prestasi kumpulan, khususnya selepas keputusan kukuh tahun kewangan 2025 serta permulaan positif pada suku pertama 2026.

Lembaga Pengarah turut merakamkan penghargaan kepada pemegang saham atas kepercayaan berterusan serta komitmen untuk terus mencipta nilai jangka panjang yang mampan.

Dalam pada itu, Mesyuarat Agung Tahunan ke-19 (AGM) menerima sokongan padu daripada para pemegang saham bagi semua resolusi yang dibentangkan.

“Sokongan tersebut mencerminkan keyakinan berterusan pelabur terhadap hala tuju perniagaan Kumpulan, pendekatan pengurusan yang berdisiplin serta strategi jangka panjang dalam memperkukuh operasi perdagangan, pemprosesan dan pembuatan hiliran keluli,” katanya.

Dalam AGM berkenaan, pemegang saham turut meluluskan pembayaran dividen akhir satu peringkat sebanyak 1.0 sen sesaham bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025.

Dividen itu dijadualkan dibayar pada 24 Julai 2026 kepada pemegang saham yang layak berdasarkan rekod pada 30 Jun 2026.

Pemegang saham juga bersetuju untuk pemilihan semula beberapa pengarah yang bersara, iaitu Ooi Kong Tiong, Ng Kok Teong dan Ooi Shang How.

Langkah ini memastikan kesinambungan kepimpinan lembaga dalam menghadapi cabaran industri keluli yang dipengaruhi oleh turun naik harga, pergerakan mata wang dan ketidaktentuan ekonomi global.

Selain itu, pelantikan semula Tetuan Baker Tilly Monteiro Heng PLT sebagai juruaudit syarikat turut diluluskan bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2026.

Mandat bagi pengarah untuk menerbitkan sehingga 10 peratus saham baharu juga diluluskan, memberi fleksibiliti kepada kumpulan untuk keperluan modal kerja, peluang pelaburan dan inisiatif korporat pada masa hadapan.

Cadangan pembaharuan mandat transaksi pihak berkaitan berulang turut mendapat kelulusan, membolehkan operasi harian kumpulan diteruskan dengan lebih lancar tertakluk kepada syarat pasaran dan pematuhan Bursa Malaysia Securities Berhad.-UTUSAN

Scroll to Top