Kuala Lumpur: Malaysia terus mengukuhkan kedudukannya sebagai pusat perbincangan serantau mengenai kecerdasan buatan (AI), tadbir urus digital dan komunikasi strategik menerusi penganjuran Persidangan Perhubungan Awam Antarabangsa Kuala Lumpur Ke-8 (KLIP 8) yang menghimpunkan lebih 300 pemimpin industri, pembuat dasar dan pakar komunikasi dari seluruh dunia.
Persidangan yang berlangsung pada 8 dan 9 Jun lalu itu disertai wakil syarikat multinasional, kementerian, syarikat berkaitan kerajaan (GLC), organisasi media, universiti dan persatuan perhubungan awam (PR) dari Malaysia, ASEAN serta rantau Asia Pasifik.
Dianjurkan oleh World Communications, KLIP 8 membawa tema “Zero Hour: The Trust Crisis-PR in an AI-Driven World” yang memberi tumpuan kepada cabaran membina semula kepercayaan awam dalam era yang dipengaruhi maklumat palsu, manipulasi digital dan perkembangan pesat teknologi AI.
Pengarah Urusan World Communications, Jaffri Amin Osman berkata, landskap komunikasi kini berubah dengan pantas apabila teknologi AI semakin memainkan peranan penting dalam pengurusan isu, tindak balas krisis dan pembentukan kepercayaan.
Menurutnya, KLIP diwujudkan bagi membantu pengamal komunikasi menyesuaikan diri dengan realiti baharu itu dengan lebih jelas dan yakin.
“Ketika Malaysia dan ASEAN melangkah ke era yang dipacu AI, pemimpin komunikasi perlu berkembang daripada sekadar pencerita kepada penasihat strategik yang mampu membimbing organisasi dengan wawasan, integriti dan tujuan yang jelas,” katanya.
Mewakili Menteri Komunikasi, Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata, masa depan digital Malaysia perlu dibangunkan berasaskan kepercayaan terhadap maklumat, platform dan teknologi.
Beliau berkata, kerajaan komited memperkukuh tadbir urus digital, akauntabiliti platform serta keselamatan dalam talian bagi memastikan teknologi digunakan untuk manfaat masyarakat.
“Teknologi bukanlah masalah utama. Risiko sebenar timbul apabila sistem yang berkuasa beroperasi tanpa ketelusan dan perlindungan etika yang mencukupi.
“Justeru, kerajaan akan terus memperkukuh keselamatan dalam talian, meningkatkan literasi digital serta melabur dalam pembangunan keupayaan AI berdaulat bagi melindungi kepentingan negara,” katanya.
Persidangan itu turut menampilkan pakar dari Australia, Korea Selatan, New Zealand, Singapura, Indonesia dan Hong Kong yang berkongsi pandangan mengenai transformasi berasaskan AI, komunikasi krisis, tadbir urus digital dan masa depan media.
Jurulatih Kepimpinan Eksekutif dan bekas Pengerusi IABC Global, Adrian Cropley berkata, AI kini membantu organisasi mengukur impak komunikasi dengan lebih tepat, termasuk aspek yang sebelum ini sukar dinilai seperti pengaruh, kepercayaan dan penceritaan jenama.
Sementara itu, Presiden ASEAN PR Network, Prita Kemal Gani berkata, KLIP berjaya muncul sebagai platform penting yang menyatukan pemimpin komunikasi di rantau ini.
Katanya, persidangan berkenaan secara konsisten menawarkan kandungan bertaraf dunia dan menjadi medan perkongsian idea yang relevan serta berpandangan jauh kepada pengamal komunikasi di ASEAN dan Asia Pasifik.
Antara organisasi yang mengambil bahagian termasuk Kementerian Komunikasi, Kementerian Kewangan, Pejabat Perdana Menteri, BERNAMA, Bank Negara Malaysia, PETRONAS, Astro Malaysia Holdings, Sarawak Energy, Amanah Raya dan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS).
Sejak diperkenalkan pada 2019, KLIP berkembang daripada platform tempatan kepada medan dialog serantau yang mempertemukan pengamal komunikasi, penggubal dasar dan pemimpin industri bagi membincangkan isu berkaitan AI, tadbir urus digital serta usaha memulihkan kepercayaan dalam ekosistem maklumat global.
Penganjur berkata, perkembangan itu menjadikan Malaysia dan ASEAN bukan sahaja peserta dalam perbincangan global mengenai teknologi dan komunikasi, malah memainkan peranan penting dalam membentuk hala tuju masa depan sektor berkenaan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




