Safawi, Indra dan geng 'ajar' selebriti cara bermain bola sepak

Safawi, Indra dan geng 'ajar' selebriti cara bermain bola sepak

sukan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Pasukan Malaysia All Stars yang dibarisi pemain profesional menepati ramalan apabila mencatat kemenangan 4-2 ke atas Mekdi All Stars dalam Perlawanan Amal Persatuan Kebajikan Ronald McDonald Malaysia (RMHC Malaysia) di Stadium Merdeka, sebentar tadi.

Dalam perlawanan itu, seperti dijangka, skuad bimbingan Tan Cheng Hoe yang diperkuatkan dengan pemain seperti Amri Yahya, Indra Putra Mahayuddin, Safawi Rasid, Razman Roslan dan ramai lagi menguasai permainan sepenuhnya menerusi serangan bertali arus.

Empat jaringan hadir menerusi Razman, Safawi, Norshahrul Idlan Talaha dan Indra yang dilihat agak mudah menjaringkan gol dalam perlawanan itu.

Namun begitu, biarpun Mekdi All Stars dibarisi pelakon hebat seperti Meerqeen, MK K-Clique, Tuju K-Clique, Amir Ahnaf dan Ezzrin Loy, mereka tidak mengalah dengan mudah apabila berjaya mencetak dua gol.

Malah, mereka terlebih dahulu membuka jaringan menerusi Amir Ahnaf pada separuh masa pertama sebelum Meerqeen merapatkan kedudukan menerusi gol kedua di penghujung permainan.

Dalam perlawanan amal itu juga, pihak penganjur, McDonald’s Malaysia, berjaya mengumpul dana lebih RM46,000 selepas ia dihadiri lebih 2,000 orang.

Sumbangan awam yang dikumpul akan disalurkan kepada RMHC Malaysia yang menyokong kanak-kanak dan keluarga melalui program kesihatan, pendidikan dan kebajikan, termasuk Rumah Ronald McDonald, Anugerah Senyuman, Program Pek Kembali ke Sekolah dan Bilik Terapi Sensori Ronald McDonald.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top