Arab Saudi tekad ulang magis Qatar

Arab Saudi tekad ulang magis Qatar

MIAMI: Arab Saudi bertekad menghidupkan semula keajaiban yang pernah menggegarkan dunia di Qatar empat tahun lalu apabila membuka kempen Kumpulan H menentang Uruguay, Selasa ini.

Skuad The Green Falcons masih dikenang kerana mencipta salah satu kejutan terbesar dalam sejarah Piala Dunia apabila menewaskan juara dunia, Argentina 2-1 pada edisi 2022.

Namun kali ini, Arab Saudi hadir dengan wajah berbeza apabila dibimbing jurulatih baharu, Georgios Donis yang hanya dilantik kurang dua bulan sebelum kejohanan bermula.

Donis menggantikan Herve Renard yang dipecat pada April lalu selepas beberapa keputusan mengecewakan termasuk kekalahan 0-4 kepada Mesir dan 1-2 kepada Serbia dalam aksi persahabatan.

Bekas pemain Blackburn Rovers dan Sheffield United itu kini memikul misi berat untuk mengembalikan keyakinan pasukan yang diundi dalam kumpulan sukar bersama Uruguay, Sepanyol dan Cape Verde.

Kapten, Salem Al-Dawsari dijangka sekali lagi menjadi sandaran utama dengan penyokong masih segar mengingati jaringan kemenangan yang dihasilkannya ke atas Argentina di Qatar.

Sementara itu, Uruguay hadir dengan misi membuktikan projek pembaharuan skuad di bawah Marcelo Bielsa semakin berada di landasan tepat.

Sejak dilantik pada 2023, Bielsa melakukan rombakan besar dengan membentuk pasukan lebih muda selepas era Luis Suarez dan Edinson Cavani berakhir.

Kini, harapan La Celeste banyak digalas Federico Valverde, Darwin Nunez dan Ronald Araujo, namun pertahanan Barcelona itu masih diragui akibat kecederaan otot.

Corak permainan berintensiti tinggi yang diterapkan Bielsa menyaksikan Uruguay meraih beberapa keputusan membanggakan termasuk menewaskan Brazil dan Argentina dalam aksi kelayakan Piala Dunia.

Bagaimanapun, isu konsistensi masih membelenggu mereka apabila sekadar menamatkan kempen kelayakan zon Amerika Selatan di tangga keempat.

Rekod juga memihak kepada Uruguay yang menewaskan Arab Saudi 1-0 pada pertemuan terakhir kedua-dua pasukan di Piala Dunia 2018 menerusi jaringan Suarez.

Bagi Arab Saudi, perlawanan kali ini bukan sekadar memburu tiga mata, tetapi peluang untuk sekali lagi membuktikan mereka masih mampu mencipta kejutan di pentas terbesar bola sepak dunia.-AGENSI

Scroll to Top