PH kekalkan Arthur untuk pertahan DUN Bukit Batu

PH kekalkan Arthur untuk pertahan DUN Bukit Batu
PH kekalkan Arthur untuk pertahan DUN Bukit Batu

Saifuddin Nasution (kiri) memperkenalkan Arthur yang diumumkan sebagai calon bagi kerusi DUN Bukit Batu N.51 pada Pelancaran Jentera Pilihan Raya DUN Bukit Batu di Dataran Flat Cengal, Taman Putri pada Sabtu. Foto: Bernama

KULAI – Pakatan Harapan (PH) mengekalkan penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Batu, Arthur Chiong Sen Sern sebagai calon gabungan itu bagi mempertahankan kerusi berkenaan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor akan datang.

Ketua Setiausaha PH, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, Arthur ialah calon pertama yang diumumkan daripada senarai 56 calon gabungan itu bagi menghadapi pilihan raya berkenaan.

Naib Presiden PKR itu berkata keputusan mengekalkan Arthur telah dipersetujui oleh Pengerusi PH yang juga Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Calon-calon lain akan diumumkan kemudian,” katanya pada Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya PKR DUN Bukit Batu malam ini.

Turut hadir, Ahli Parlimen Kulai Teo Nie Ching yang juga Timbalan Menteri Komunikasi.

Saifuddin Nasution, yang juga Menteri Dalam Negeri, turut mengingatkan Arthur bahawa cabaran mempertahankan kerusi berkenaan kali ini dijangka lebih hebat walaupun beliau mempunyai rekod perkhidmatan yang baik sebagai wakil rakyat.

Sehubungan itu, beliau menyeru seluruh jentera PKR dan parti komponen PH termasuk DAP dan Amanah supaya memperkukuh kerjasama bagi memastikan kemenangan gabungan berkenaan.

“Kemenangan calon DAP adalah kemenangan kita juga… apabila ada semangat begitu, barulah kita benar-benar menjadi satu pasukan dan satu hati,” katanya ketika berucap pada majlis itu.

Pada PRN lepas, Arthur yang mewakili PH-PKR berjaya mempertahankan kerusi DUN Bukit Batu dengan memperoleh 9,439 undi dalam pertandingan empat penjuru melibatkan Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) dan Warisan.

PRN Johor ke-16 akan berlangsung 11 Julai ini manakala 27 Jun ditetapkan sebagai hari penamaan calon dan pengundian awal pada 7 Julai. – Bernama 

Scroll to Top