Hamzah pilihan awal Pas sebagai Ketua Pembangkang, tapi Bersatu kurang selesa- Tuan Ibrahim

Hamzah pilihan awal Pas sebagai Ketua Pembangkang, tapi Bersatu kurang selesa- Tuan Ibrahim

SEREMBAN – Pas sememangnya berhasrat mengekalkan Datuk Seri Hamzah Zainudin sebagai Ketua Pembangkang sejak awal lagi.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, parti bagaimanapun terpaksa membuat keputusan untuk melantik individu lain berikutan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) kurang bersetuju dengan keputusan itu.

Menurutnya, hasrat untuk mengekalkan Hamzah berikutan prestasi dan keberkesanannya dalam melaksanakan tanggungjawab sebagai Ketua Pembangkang.

“Sebenarnya, dari awal lagi kita memang nak mengekalkan Datuk Seri Hamzah kerana prestasi beliau, malah ramai Ahli Parlimen pembangkang yang bersama (menyokong) beliau.

“Tapi Bersatu tidak begitu selesa dengan Datuk Seri Hamzah yang telah dipecat. Oleh kerana beliau menubuhkan parti baharu yang tidak berkaitan dengan Bersatu dan memilih untuk bersama kita, maka kita mengekalkan beliau,” katanya ditemui pemberita selepas Ceramah Umum Ambang Pilihan Raya di sini pada Sabtu.

Sebelum ini, Naib Presiden Pas Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) baharu dilantik sebagai Ketua Pembangkang selepas Hamzah dipecat daripada Bersatu.

Bagaimanapun, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang di Konvensyen RESET Pembangkang yang berlangsung di Kelantan pada Sabtu telah mengumumkan Hamzah kembali dlantik semula sebagai Ketua Pembangkang selepas mendapat persetujuan ramai.

Pelantikan Hamzah tersebut telah mengundang kritikan kerana Ahmad Samsuri dilihat seolah-olah ‘dipecat’ sebelum memulakan tugas.

Berkenaan kemasukan ramai tokoh-tokoh pelbagai bidang ke dalam Pas, Timbalan Pengerusi PN itu berkata, ia merupakan satu perkembangan yang positif sekali gus menggambarkan penerimaan masyarakat terhadap perjuangan parti terbabit.

“InsyaALLAH, ini akan membina satu momentum dalam gabungan kerjasama politik dengan rakan-rakan kita yang lain dan kita harap ia akan menjadi semangat kepada orang lain untuk bersama-sama dalam perjuangan Pas.

“Selepas ini ada beberapa orang lagi yang akan diumumkan secara berperingkat menyertai Pas,”katanya.

Beliau turut memberitahu, Pas tiada masalah dan terbuka untuk menerima sesiapa saja untuk menyertai parti berkenaan, termasuklah mengalu-alukan mana-mana parti untuk bersama mereka termasuklah parti baharu.

Dalam pada itu ditanya berkenaan jawatan Pengerusi PN Negeri Sembilan yang masih kosong hingga kini, Tuan Ibrahim berkata, perkara terbabit akan dibincangkan dalam mesyuarat PN akan datang.

Scroll to Top