KOTA BHARU – Keinginan untuk merasai pengalaman bercuti di luar negara dikesan menjadi antara faktor utama yang mendorong ribuan rakyat Malaysia mengabaikan amaran keselamatan dan sanggup beratur panjang bagi memasuki Selatan Thailand, terutama pada musim perayaan dan cuti persekolahan.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, tinjauan harian di tiga pintu masuk sah atau Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) di negeri ini, iaitu Rantau Panjang di Pasir Mas, Pengkalan Kubor di Tumpat dan Bukit Bunga di Tanah Merah, menunjukkan aliran keluar masuk yang tinggi.
Beliau berkata, pada hari biasa, kira-kira 3,000 individu direkodkan melintasi sempadan, manakala jumlah itu meningkat kepada lebih 4,000 pergerakan pada hujung minggu.
“Apabila tiba musim cuti sekolah, jumlah itu meningkat dengan ketara sehingga mencecah antara 6,000 dan 7,000 orang sehari.
“Secara keseluruhan, pergerakan keluar masuk melibatkan pemegang pas sempadan dan pasport boleh mencecah sehingga 10,000 orang sehari. Kita sentiasa mengingatkan orang ramai bahawa situasi keselamatan di Selatan Thailand sukar diramal.
“Bila dan di mana insiden letupan atau tembakan akan berlaku, tiada siapa yang tahu. Amaran perjalanan yang dikeluarkan Wisma Putra sejak tahun lalu masih berkuat kuasa sehingga kini, namun ramai rakyat kita dilihat tidak mengendahkannya dan tetap sanggup beratur panjang,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Produk pelancongan
Mengulas faktor yang mendorong orang ramai berkunjung ke wilayah berkenaan, Mohd Yusoff berkata, berdasarkan pemerhatiannya, Kelantan masih memerlukan lebih banyak produk pelancongan dan lokasi rekreasi keluarga yang mampu menarik minat penduduk tempatan untuk bercuti dalam negeri.
Beliau berkata, faktor psikologi masyarakat yang taksub dengan istilah percutian luar negara sebagai satu nilai tambah turut memainkan peranan.
“Rakyat kita ini, apabila mendapat cop pasport, mereka sudah menganggapnya sebagai percutian luar negara, sedangkan destinasi itu hanya dipisahkan oleh sebatang sungai.
“Selain itu, faktor kewangan turut menjadi tarikan kerana nilai mata wang negara jiran yang lebih kompetitif membolehkan mereka berasa seronok untuk berbelanja besar di sana,” katanya.
Beliau berkata, sebahagian besar rakyat tempatan menyeberangi sempadan hanya untuk urusan ringkas seperti menikmati makanan asli Thailand, bersiar-siar di pasar malam serta membeli snek dan produk popular di rangkaian kedai serbaneka 7-Eleven Thailand sebelum pulang pada hari yang sama.
Sementara itu, Mohd Yusoff mencadangkan kerajaan negeri dan pihak berkaitan mempertimbangkan transformasi pekan sempadan seperti Rantau Panjang berasaskan model pembangunan Padang Besar, Perlis, sebagai langkah serampang dua mata bagi merancakkan ekonomi tempatan serta mengurangkan pengaliran keluar mata wang negara.
Beliau berkata, pembangunan kompleks perniagaan yang lebih teratur dan berkonsepkan kawasan Rehat dan Rawat (R&R) mampu menarik pelancong domestik tanpa perlu mereka melintasi sempadan.
Katanya, kejayaan Padang Besar membuktikan konsep itu berkesan apabila pusat beli-belah yang dibangunkan berjaya menarik peniaga Thailand memasarkan pelbagai produk seperti pakaian, barangan keperluan dan makanan asli negara itu secara sah di Malaysia.
“Jika konsep yang sama dapat dilaksanakan di Kelantan, kita bukan sahaja mampu menarik lebih ramai pelancong, malah dapat mengurangkan kecenderungan rakyat kita menyeberangi sempadan semata-mata untuk membeli-belah atau mengunjungi pasar malam.
“Lagipun, budaya dan makanan masyarakat di kedua-dua kawasan tidak banyak berbeza,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Mohd Yusoff menolak dakwaan sesetengah pihak yang menyalahkan tindakan penguatkuasaan dan kawalan ketat polis di sempadan sebagai punca Zon Bebas Cukai Rantau Panjang dan Pengkalan Kubor menjadi lengang.
Beliau menegaskan, kemerosotan ekonomi di kedua-dua pekan sempadan itu sebenarnya telah bermula lebih awal, sebelum pandemik Covid-19 melanda negara.
“Selepas pandemik Covid-19, corak perbelanjaan masyarakat berubah secara drastik apabila semakin ramai memilih membeli produk Thailand secara dalam talian,” katanya.
Menurut beliau, trend pembelian dalam talian telah memberi kesan besar kepada perniagaan fizikal tradisional, justeru pekan sempadan tidak lagi boleh bergantung kepada kaedah perniagaan lama.
Sebaliknya, kawasan berkenaan perlu diberi nafas baharu melalui konsep perniagaan yang lebih relevan dengan kehendak pengguna semasa, termasuk menjadikannya hab produk dan makanan popular dari Thailand.
“Rantau Panjang perlu dilihat sebagai destinasi yang memerlukan pembaharuan. Wujudkan premis perniagaan yang lebih menarik dan bawa masuk produk yang mendapat permintaan tinggi dari Thailand.
“Itulah antara penyelesaian terbaik untuk merancakkan semula ekonomi pekan sempadan,” katanya. – Bernama



