Washington: Pekerja menanggalkan nama Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, daripada fasad Pusat Kennedy yang berprestij di Washington pada Sabtu.
Perkara berkenaan dianggap satu kekalahan memalukan buat pemimpin AS itu yang mengetepikan tradisi politik dengan meletakkan nama dan imejnya di pelbagai ruang awam.
Pemulihan nama asal pusat seni persembahan itu dibuat selepas pertikaian undang-undang yang berpanjangan dengan kumpulan anti-Trump memantau keadaan sehingga lewat malam Jumaat, sebelum ribut petir memaksa pekerja pembinaan menghentikan kerja.
Pengarah Eksekutif Pusat Kennedy, Matt Floca berkata, semua papan tanda fizikal pada bangunan dan kawasan pusat itu yang mengandungi nama Trump sudah ditanggalkan.
Trump sebelum ini menamakan dirinya sebagai pengerusi pusat seni itu dan melantik penyokong setianya ke dalam lembaga pentadbir.
Lembaga itu kemudian mengundi pada Disember untuk menukar nama venue berkenaan kepada ‘The Donald J Trump and John F Kennedy Memorial Center for the Performing Arts’.
Nama Trump kemudian ditambah pada fasad bangunan dalam huruf besar di atas nama Kennedy.
Tindakan itu menyebabkan pembatalan persembahan dan kejatuhan jualan tiket bagi acara yang masih diteruskan.
Dalam pada itu, Hakim Daerah AS, Christopher Cooper, bulan lalu mengarahkan nama Trump ditanggalkan daripada bangunan ikonik itu sebelum penghujung Jumaat.
Cooper berkata, kompleks seni itu dinamakan semula secara tidak sah sempena Trump dan hanya Kongres mempunyai hak untuk menukar namanya.
Pusat Kennedy juga menyingkirkan nama Trump daripada laman sesawangnya awal minggu ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd




