am@hmetro.com.my
Melaka: Kehadiran lebih 1,000 pencari kerja pada sesi temu duga terbuka di Banda Hilir hari ini sehingga tular di media sosial menunjukkan Melaka menjadi lubuk rezeki dan tidak berdepan kadar pengangguran tinggi.
Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri, Datuk Ngwe Hee Sem berkata, kadar pengangguran di Melaka ketika ini hanya sekitar dua peratus sahaja dan antara yang terendah di negara ini.
Beliau berkata, pihaknya yakin sebahagian besar individu yang hadir pada sesi temu duga yang diadakan sebuah syarikat di sebuah hotel termasuk mereka yang datang dari luar Melaka kerana tertarik dengan peluang pekerjaan serta pakej ditawarkan.
“Saya percaya pencari kerja yang hadir kerana mereka tertarik dengan tawaran pekerjaan yang disediakan.
“Pengangguran kita rendah kerana kerajaan negeri bersama agensi berkaitan seperti Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) sentiasa menganjurkan pelbagai karnival kerjaya bagi membantu rakyat mendapatkan pekerjaan yang sesuai,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Mengulas lanjut, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machap Jaya berkata, pihak syarikat memaklumkan sesi temu duga terbuka itu diadakan bagi mengisi antara 300 hingga 500 kekosongan jawatan membabitkan operator pengeluaran dan juruteknik.
Katanya, tawaran gaji yang dipercayai bermula sekitar RM3,000 sebulan selain beberapa kelebihan ditawarkan menjadi faktor menarik minat ramai pencari kerja hadir mencuba nasib.
“Apabila syarikat menawarkan peluang pekerjaan yang baik dengan gaji kompetitif, sudah tentu ia akan menarik kehadiran pencari kerja dalam jumlah yang ramai,” katanya.
Terdahulu, orang ramai beratur panjang sejak awal pagi bagi menghadiri sesi temu duga terbuka syarikat semikonduktor dan elektronik dari Jerman sehingga tular di media sosial dan mencetuskan pelbagai reaksi netizen.
Sementara itu, Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) turut mengambil perhatian terhadap aduan orang ramai berhubung isu keselamatan dan keselesaan pencari kerja yang beratur panjang bagi menghadiri sesi temu duga terbuka berkenaan.
Datuk Bandar MBMB, Datuk Shadan Othman berkata, beliau sudah bertemu pihak pengurusan syarikat bagi mendapatkan penjelasan susulan keadaan yang menyebabkan orang ramai beratur panjang sehingga luar bangunan hotel.
Menurutnya, pertemuan itu diadakan selepas MBMB menerima aduan awam berhubung kesesakan serta aspek keselamatan dan keselesaan calon yang hadir.
“Keutamaan adalah memastikan keselamatan, keselesaan dan kelancaran urusan pencari kerja agar tidak berlaku kejadian tidak diingini seperti kemalangan,” katanya.
Keadaan itu menyebabkan laluan pejalan kaki dan beberapa kawasan sekitar Banda Hilir dipenuhi pencari kerja yang sanggup menunggu berjam-jam bagi merebut peluang pekerjaan ditawarkan.
Shadan berkata, MBMB akan terus memantau situasi berkenaan dan bekerjasama dengan pihak berkaitan bagi memastikan program membabitkan kehadiran ramai orang dapat dilaksanakan secara lebih teratur pada masa hadapan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




