Havana: Di tengah tengah krisis ekonomi yang semakin menghimpit kehidupan rakyat Cuba, Piala Dunia 2026 menjadi penawar sementara buat penduduk negara itu untuk melupakan seketika kesukaran yang dihadapi setiap hari.
Ketika Maghribi mengikat Brazil dalam aksi pembukaan kejohanan yang disiarkan televisyen negara, rakyat Cuba mengambil peluang untuk menikmati 100 minit kegembiraan dengan mengetepikan segala beban hidup.
Di sebuah kafe kecil di Centro Habana yang dipenuhi bangunan usang dan timbunan sampah, sekumpulan lelaki berhimpit di hadapan televisyen kecil untuk mengikuti perlawanan.
Walaupun Cuba tidak pernah beraksi di pentas Piala Dunia dan lebih sinonim dengan besbol, bola sepak kini semakin mendapat tempat dalam kalangan generasi muda, terutama selepas kemunculan telefon pintar sejak 2018.
Keadaan ekonomi yang meruncing akibat kekurangan bahan api dan gangguan bekalan elektrik bagaimanapun terus membayangi kehidupan harian mereka.
Pengarah sumber manusia Teater Nasional Cuba, Ismael Veranes, mengakui Piala Dunia memberi ruang untuk mereka melupakan seketika realiti pahit yang terpaksa ditempuhi.
“Apabila anda pulang ke rumah dalam keadaan letih, tiada elektrik. Cuaca panas dan dipenuhi nyamuk,” katanya selepas mendedahkan dia terpaksa mengharungi 20 jam tanpa bekalan elektrik di rumah.
Veranes yang berjalan kaki sejauh lapan kilometer setiap hari untuk ke tempat kerja berkata kejohanan itu menjadi satu bentuk pelarian daripada tekanan hidup.
Di satu sudut lain di Havana, kanak kanak bermain bola menggunakan penutup botol sambil diperhatikan mural Che Guevara yang menghiasi dinding berhampiran.
Bapa kepada seorang kanak kanak peminat Lionel Messi, Osmany, berkata bola sepak semakin diminati berbanding besbol.
“Kanak kanak kini lebih cenderung kepada bola sepak.
“Piala Dunia membolehkan kami mengosongkan fikiran seketika,” katanya sambil tersenyum.
Ramai rakyat Cuba turut mengenang nostalgia Piala Dunia terdahulu apabila semua perlawanan disiarkan televisyen negara dan kehidupan tidak sesukar sekarang.
Namun kali ini, hanya premis tertentu yang mempunyai televisyen kabel mampu menayangkan kesemua perlawanan, menyebabkan ramai penyokong sekadar menonton dari kaki lima.
“Keadaannya tidak lagi sama,” kata Alan, 36, yang berbincang mengenai peluang Brazil sambil memegang setin minuman.
Bagi ahli biologi berusia 24 tahun, Victor Diaz, Piala Dunia memberi sedikit kelegaan dalam kehidupan yang penuh cabaran.
“Mempunyai sesuatu yang boleh meringankan segala beban yang kami hadapi setiap hari adalah sesuatu yang luar biasa,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




