Dallas: Penyerang bintang Belanda, Memphis Depay hanya bermula di bangku simpanan apabila Ronald Koeman membuat keputusan berani menjelang aksi Kumpulan F Piala Dunia 2026 menentang Jepun di Stadium Dallas, awal pagi Isnin.
Koeman memilih Donyell Malen sebagai penyerang utama dalam kesebelasan pertama, sekali gus mengubah pendekatan serangan Belanda untuk perlawanan penting itu.
Dalam masa sama, Jepun turut melakukan perubahan ketara apabila Ritsu Doan dilantik sebagai kapten pasukan walaupun sebelum ini jurulatih Hajime Moriyasu menyatakan Ko Itakura akan memikul tugas tersebut.
Namun Itakura tidak berada dalam kesebelasan utama perlawanan itu, sekali gus membuka laluan kepada Doan untuk mengetuai skuad Samurai Biru.
Jepun turut kehilangan Wataru Endo akibat kecederaan, memaksa Kaishu Sano dan Daichi Kamada mengisi bahagian tengah dalam usaha mengekalkan keseimbangan pasukan.
Belanda pula menurunkan penjaga gol Bart Verbruggen yang kembali cergas selepas kecederaan ketika aksi persahabatan menentang Uzbekistan.
Kesebelasan utama Belanda menyaksikan Virgil van Dijk mengetuai benteng bersama Jan Paul van Hecke dan Micky van de Ven, dengan Frenkie de Jong mengemudi bahagian tengah.
Di bahagian serangan, Cody Gakpo, Donyell Malen dan Crysencio Summerville menjadi taruhan utama Koeman dalam usaha memburu kemenangan pertama mereka di kejohanan ini.
Jepun pula mempertaruhkan Zion Suzuki di gawang, dengan Takefusa Kubo dan Ayase Ueda menjadi antara ancaman utama di jentera serangan.
Kesebelasan utama
Belanda: Bart Verbruggen; Virgil Van Dijk, Jan Paul Van Hecke, Micky Van De Ven, Denzel Dumfries; Ryan Gravenberch, Tijani Reijnders, Frenkie De Jong; Cody Gakpo, Donyell Malen, Crysencio Summerville.
Jepun: Zion Suzuki; Shogo Taniguchi, Tsuyoshi Watanabe, Hiroki Ito; Takefusa Kubo, Ritsu Doan, Daizen Maeda, Keito Nakamura, Daichi Kamada, Kaishu Sano; Ayase Ueda.
© New Straits Times Press (M) Bhd




