
Sapna (tiga dari kanan) menyerahkan cek cura sumbangan PKNS kepada Dr Nur Aslina (empat dari kanan) di IKN Putrajaya pada Khamis.
PUTRAJAYA – Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) meneruskan komitmen terhadap agenda tanggungjawab sosial korporat (CSR) dengan menyalurkan sumbangan sebanyak RM300,000 kepada Institut Kanser Negara (IKN) di sini.
Bantuan di bawah kategori asnaf al-gharimin itu dijangka memberi manfaat kepada 100 pesakit kanser beragama Islam yang sedang mendapatkan rawatan di institut berkenaan.
Pengurus Besar Kanan Perkhidmatan Korporat PKNS, Sapna Turmidi berkata, bantuan yang disalurkan itu juga diharap membantu meringankan beban pesakit, dalam masa sama ia mencerminkan komitmen pihaknya melaksanakan inisiatif tanggungjawab sosial terhadap masyarakat.
Menurut beliau, sumbangan julung kali disalurkan kepada IKN itu merupakan salah satu aktiviti yang dijalankan sempena sambutan Ulang Tahun PKNS ke-62 yang disambut pada 1 Ogos lalu.
“Sumbangan ini juga merupakan salah satu aktiviti CSR di bawah zakat wakalah antara kerjasama PKNS dan Lembaga Zakat Selangor (LZS) dan kita berharap sumbangan seperti ini dapat diteruskan pada masa akan datang.

SAPNA
“Bagi PKNS, kami berharap kehadiran kami di sini bukan sekadar membawa sumbangan tetapi turut membawa sedikit kekuatan, semangat dan harapan kepada pesakit serta keluarga yang sedang melalui saat-saat mencabar.
“Kami mungkin tidak mampu memahami sepenuhnya apa yang mereka lalui. Kami mahu mereka tahu bahawa mereka tidak bersendirian dalam perjuangan ini,” katanya kepada pemberita selepas penyerahan sumbangan.
Turut hadir, Pengarah IKN, Dr Nur Aslina Bahakodin, Ketua Jabatan Pemasaran dan Komunikasi LZS, Khairul Azhan Ahmad dan pegawai PKNS.
Selain penyerahan cek, PKNS yang diketuai Sapna juga turut mengambil kesempatan melawat ke wad pesakit kanser yang sedang mendapatkan rawatan.
Pemergian kakitangan cetus sumbangan kepada IKN
Sementara itu, Sapna yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Wang Zakat PKNS berkata, detik kehilangan seorang kakitangan PKNS akibat kanser beberapa bulan lalu turut menjadi pencetus kepada idea untuk menyalurkan sumbangan kepada institut berkenaan.
Menurutnya, pekerja tersebut meninggal dunia ketika menjalani rawatan di IKN selepas disahkan menghidap kanser glioma pada Februari lalu.

NUR ASLINA
“Kita ada seorang staf yang menghidap kanser glioma. Beliau telah diagnos seawal Februari tahun ini dan empat bulan kemudian meninggal dunia di IKN.
“Jadi, berikutan daripada kejadian tersebut, kita terpanggil untuk memberi sumbangan kepada IKN,” katanya.
Kerja sosial IKN perlu RM2 juta setahun
Sementara itu, Dr Nur Aslina berkata, IKN melalui kerja sosial memerlukan sumbangan kira-kira RM2 juta setahun untuk membantu meringankan beban pesakit terutama bagi golongan memerlukan.
Beliau berkata, peruntukan tersebut bagi tujuan tuntutan tambang, belanja, peralatan dan keperluan pesakit yang mendapatkan rawatan di institut berkenaan.
“Keperluan setiap pesakit adalah berbeza mengikut jenis kanser yang dihidapi mereka dan di pihak IKN kami sangat mengalu-alukan sumbangan atau bantuan sebegini bagi meringankan beban pesakit.

Sapna (dua dari kiri) dan Nursalina (tiga dari kanan) bergambar bersama delegasi PKNS sempena lawatan ke IKN di Putrajaya.
“Alhamdulillah, setiap tahun kita mampu capai keperluan RM2 juta, cuma cepat atau lambat sahaja. Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada PKNS atas sumbangan besar ini,” katanya.
Dalam pada itu, ditanya mengenai jumlah pesakit, beliau berkata, data menunjukkan berlaku peningkatan sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Menurutnya, peningkatan tersebut didorong oleh kesedaran masyarakat untuk membuat pemeriksaan dan saringan awal mengenai kanser.
“Pada masa ini kanser payudara merupakan jumlah penyakit tertinggi yang dihidapi wanita, manakala lelaki pula ialah kanser kolorektal. Jadi, kita harap masyarakat mengambil pendekatan untuk membuat saringan awal,” katanya.
Dalam pada itu, Khairul Azhan berkata, asnaf al-gharimin atau individu Islam yang dibebani dengan masalah hutang yang sah di sisi syarak dan tidak mempunyai keutamaan kewangan untuk melunaskannya merupakan antara lapan kategori layak menerima zakat berkenaan.
“Kita sedia maklum bahawa kanser ini memerlukan kos dan peruntukan yang cukup besar. Jadi, di pihak LZS kita sedia sebenarnya untuk membantu melalui kategori zakat yang kita ada dengan syarat pesakit ialah beragama Islam,” katanya.
Menurutnya, setiap tahun LZS mengagihkan zakat sebanyak RM60 juta untuk dialisis.