Penyanyi Oliver Tree maut dalam nahas 2 helikopter bertembung

Penyanyi Oliver Tree maut dalam nahas 2 helikopter bertembung

Rio de Janeiro: Penyanyi pop alternatif Amerika Syarikat (AS) dan personaliti internet Oliver Tree berada di dalam salah satu daripada dua helikopter yang bertembung di udara, di Brazil, menyebabkan enam orang terkorban, kata sumber polis kepada AFP.

Penyanyi alternatif dan personaliti internet itu disenaraikan salah seorang daripada enam orang dalam senarai penumpang satu pesawat yang dikongsi oleh sumber itu, yang mengatakan mangsa belum dapat dikenal pasti secara rasmi kerana mereka melecur teruk dalam nahas itu.

Helikopter-helikopter itu berlanggar di udara pada pagi Ahad di Recreio dos Bandeirantes, pinggir bandar di barat Rio de Janeiro, sebelum terhempas ke tempat letak kereta sebuah pengedar kereta elektrik, membakar kira-kira 20 kereta, kata anggota bomba.

Salah satu helikopter itu membawa lima orang, dan yang satu lagi hanya membawa juruterbang. Tiada mangsa yang terselamat.

Penumpang helikopter yang sama dengan Tree termasuk seorang penerbit muzik Brazil, pengarah video Argentina dan YouTuber Argentina Gaspar Prim, yang dikenali dalam talian sebagai “Gaspi”.

Tree yang berusia 32 tahun – dengan potongan ‘rambut mangkuk’ yang tersendiri dan persona internet yang eksentrik dan menarik – dikenali kerana lagu-lagu hit seperti “Life Goes On,” “Miss You,” dan “Alien Boy”.

Dia mempunyai lebih 11 juta pendengar bulanan di Spotify, dengan lagu-lagu teratasnya didengari lebih 700 juta kali.

Dalam beberapa hari kebelakangan ini, akaun Instagramnya memaparkan videonya di Brazil, di mana dia membuat persembahan di Sao Paulo pada 6 Jun dalam jelajahnya ke lebih 30 negara.

Persembahannya yang seterusnya dijadualkan di Lisbon pada 1 Julai.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top