am@hmetro.com.my
Johor Bahru: Konsulat Jeneral Republik Indonesia (KJRI) di Johor Bahru memberi perlindungan dan bantuan kepada dua wanita warga Indonesia yang disyaki menjadi mangsa penderaan fizikal majikan mereka di Johor.
Jurucakapnya berkata, kedua-dua pembantu rumah itu yang dikenali sebagai YY dan SH ditempatkan di kediaman sementara KJRI untuk perlindungan dan bantuan selanjutnya.
Beliau berkata, terdahulu, pihaknya dimaklumkan berkaitan kes berkenaan pada 13 Jun lalu daripada seorang warga Indonesia, yang dikenal pasti sebagai YY, yang melaporkan keganasan fizikal terhadapnya dan dua warga Indonesia lain, YA dan SH, yang bekerja sebagai pembantu rumah di Johor.
Menurutnya, berdasarkan maklumat diterima, ketiga-tiga wanita itu didakwa kerap diseksa majikan ketika bekerja.
Katanya, pihaknya dimaklumkan kejadian juga berlaku pada akhir 2025 dan Januari 2026.
“Selepas kejadian itu, mangsa ditinggalkan oleh majikan mereka di kawasan Kampung Melayu Majidee, Johor.
“Berikutan ingin terus bekerja di Malaysia, ketiga-tiga warga Indonesia itu kemudiannya berpisah. YA menuju ke Kuala Lumpur, manakala YY dan SH kekal di Johor,” katanya menerusi suatu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, ketiga-tiga wanita itu didapati bekerja di Malaysia secara tidak sah dan tanpa permit kerja yang sah.
Menurutnya, pasport mereka juga masih dipegang oleh majikan hingga menyebabkan mereka bimbang untuk melaporkan dakwaan penderaan itu.
Katanya, bagaimanapun, akhirnya YY memutuskan untuk melaporkan kesengsaraan dialaminya kepada KJRI..
“Susulan laporan itu, KJRI di Johor Bahru segera bekerjasama dengan polis dan memfailkan aduan.
“Berdasarkan maklumat diterima, pihaknya menerima maklumat bahawa pada 13 Jun lalu, Polis Ibu Pejabat Daerah (IPD) Johor Bahru Utara menahan empat individu yang disyaki terbabit dalam kes terbabit,” katanya.
Semalam, akhbar ini melaporkan dua pasangan suami isteri ditahan polis bagi membantu siasatan mencederakan pembantu rumah di sebuah kediaman di Taman Johor di Tampoi di sini.
Polis menahan empat suspek berusia antara 30 hingga 34 tahun, kira-kira 7.30 petang kelmarin untuk siasatan lanjut.
© New Straits Times Press (M) Bhd




