Politik tidak ganggu All Whites

Politik tidak ganggu All Whites

Inglewood: Jurulatih New Zealand, Darren Bazeley menegaskan pasukannya hanya memberi tumpuan kepada bola sepak menjelang aksi pembukaan Kumpulan G Piala Dunia 2026 menentang Iran, walaupun perlawanan itu berlangsung dalam suasana yang mendapat perhatian berikutan perkembangan politik membabitkan kedua-dua negara.

Pertembungan di Los Angeles itu berlangsung selepas beberapa bulan konflik membabitkan Iran, selain sehari selepas Washington dan Tehran mengumumkan rangka kerja perjanjian untuk menamatkan peperangan antara kedua-dua pihak.

Bagaimanapun, Bazeley menegaskan pasukannya membuat persiapan seperti biasa tanpa dipengaruhi sebarang isu luar padang.

“Sejujurnya, kami menganggapnya sebagai perlawanan biasa.

“Kami membuat persiapan yang sama untuk setiap perlawanan antarabangsa dan tidak melakukan apa-apa yang berbeza untuk aksi ini. Bagi kami, ia perlawanan besar kerana ia adalah Piala Dunia dan kami mahu beraksi cemerlang di sini,” katanya.

Kapten New Zealand, Chris Wood yang juga penjaring terbanyak sepanjang zaman negara itu, turut berkongsi pandangan sama.

“Kami hanya fokus kepada bola sepak. Apabila melangkah masuk ke padang, perkara lain tidak lagi penting,” kata penyerang berkenaan.

Perlawanan itu dijangka menarik kehadiran ramai komuniti Iran yang menetap di Los Angeles, walaupun sokongan terhadap pasukan kebangsaan Iran dijangka berpecah susulan perbezaan pandangan politik dalam kalangan penyokong.

Namun, Bazeley berkata, anak buahnya teruja untuk beraksi dalam suasana meriah di pentas terbesar dunia itu.

“Semua pemain gemar bermain di hadapan penyokong yang ramai dan dalam suasana hebat. Itulah sebab kami datang ke Piala Dunia,” katanya.

Aksi menentang Iran turut menandakan kemunculan semula New Zealand di Piala Dunia selepas 16 tahun tidak beraksi di pentas berprestij itu.

“Kami sudah menunggu lama untuk berada di sini. Kami teruja untuk memulakannya,” kata Bazeley.

New Zealand bakal berdepan cabaran sukar menentang Iran yang kini berada di ranking ke-20 dunia dan tidak tewas sepanjang kempen kelayakan Asia.

Namun Wood percaya kejohanan kali ini membuktikan jurang antara pasukan semakin kecil dan setiap negara mempunyai peluang untuk mencipta kejutan.

“Menarik apabila kebanyakan perlawanan berlangsung sengit dan seimbang, dengan setiap pasukan mempunyai peluang untuk menang.

“Itu memberikan kami keyakinan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top