KDN tunggu laporan penuh RELA

KDN tunggu laporan penuh RELA

bhnews@bh.com.my

BUTTERWORTH: Kementerian Dalam Negeri (KDN) menunggu laporan penuh siasatan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) mengenai isu tular di media sosial yang mendakwa berlakunya pendaftaran automatik dalam sistem MyRELA tanpa pengetahuan orang ramai.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin, berkata beliau sudah memaklumkan kepada Ketua Pengarah RELA, Yahya Sulaiman supaya meneliti perkara berhubung pendaftaran automatik berkenaan bagi membolehkan tindakan selanjutnya diambil.

Beliau berkata, RELA sedang memperhalusi isu terbabit dan laporan lanjut dijangka akan menyusul dalam tempoh satu atau dua hari lagi.

“Perkara ini (pendaftaran anggota secara automatik) sudah dimaklumkan kepada saya malam tadi dan saya juga sudah meminta Ketua Pengarah RELA melihat semula perkara ini.

“Kita akan perhalusi dan akan tentukan pada masa akan datang bukan mudah untuk mendaftar sesiapa menjadi anggota RELA,” katanya ditemui selepas meninjau di kawasan perumahan yang mempunyai masalah penempatan warga asing di Rumah Pangsa Jalan Terubuk dan Pangsapuri Taman Sutera, Seberang Jaya, di sini, hari ini.

Beliau mengulas mengenai isu tular berhubung pendaftaran automatik sebagai anggota RELA.

Semalam, kecoh di media sosial apabila rata-rata netizen memuatnaik status dengan mendakwa diri mereka didaftarkan sebagai ahli RELA secara automatik di dalam sistem MyRELA tanpa pengetahuan.

Ia amat mengejutkan hingga ada yang mendakwa sama ada berlaku pencerobohan data dalam sistem berkenaan.

Ditanya sama ada terdapat elemen penyelewengan data, Hamzah berkata, perkara berkenaan juga turut disiasat dan laporannya akan menyusul dalam masa terdekat.

“Kita sudah minta (siasatan dijalankan) dan dalam satu atau dua hari ini mereka akan kembali bersama laporannya,” katanya.

Terdahulu, RELA dalam satu kenyataan juga memaklumkan bahawa agensi itu akan menjalankan siasatan dalaman bagi mengenal pasti tatacara pendaftaran keanggotaan yang dilaksanakan sebelum Akta Pasukan Sukarelawan Malaysia (Akta 752) dikuatkuasakan pada tahun 2012.

RELA dalam kenyataan bagaimanapun menafikan berlakunya pendaftaran secara automatik dan menegaskan perbuatan itu bercanggah dengan perkara yang dinyatakan di Seksyen 6(1), Akta Perlindungan Data Peribadi 2010.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top