Rizab minyak kecemasan AS merosot ke tahap terendah sejak 1983

Rizab minyak kecemasan AS merosot ke tahap terendah sejak 1983

Istanbul: Rizab Petroleum Strategik (SPR) Amerika Syarikat (AS), yang merupakan simpanan minyak mentah kecemasan negara itu, telah merosot ke tahap terendah dalam tempoh 43 tahun susulan pengeluaran besar-besaran bagi mengurangkan tekanan bekalan semasa perang Iran, lapor Anadolu Ajansi (AA).

Data tenaga persekutuan daripada Pentadbiran Maklumat Tenaga (EIA) AS menunjukkan rizab berkenaan merosot kepada 340.3 juta tong, iaitu tahap terendah sejak Julai 1983, ketika AS masih dalam proses membina simpanan kecemasannya.

SPR disimpan di dalam gua garam bawah tanah di sepanjang Pantai Teluk AS dan direka untuk menyediakan bekalan minyak mentah kecemasan semasa berlakunya gangguan pasaran yang teruk.

Penurunan terbaharu itu berlaku susulan siri pengeluaran daripada rizab berkenaan dalam tempoh beberapa bulan kebelakangan ini.

Berdasarkan data persekutuan, AS telah mengeluarkan 0.4 juta tong pada Mac, 20.3 juta tong pada April, 39.4 juta tong pada Mei dan 15.1 juta tong setakat Jun ini.

Data mingguan awam terbaharu daripada EIA menunjukkan stok minyak mentah SPR berada pada paras 349.2 juta tong bagi minggu berakhir 5 Jun, turun daripada 357.1 juta tong pada minggu sebelumnya.

Kemerosotan itu menyusul selepas keputusan pentadbiran Trump pada Mac untuk membenarkan pelepasan 172 juta tong daripada SPR sebagai sebahagian daripada usaha penyelarasan Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA) bagi menstabilkan pasaran tenaga selepas konflik Asia Barat mengganggu bekalan minyak global.

Washington pada masa itu menyatakan pelepasan oleh AS berkenaan adalah sebahagian daripada langkah penyelarasan 400 juta tong yang lebih luas oleh negara anggota IEA, melibatkan minyak mentah dan produk tapisan.

SPR memainkan peranan penting dalam mengimbangkan pasaran minyak dan petrol semasa konflik itu, ketika kebimbangan bekalan melonjakkan harga tenaga dengan ketara serta mencetuskan kegusaran terhadap penghantaran melalui Selat Hormuz, yang merupakan antara laluan transit paling penting di dunia untuk minyak dan gas asli cecair.

Rizab itu kini telah jatuh di bawah paras terendah yang pernah dicatatkan semasa pentadbiran Joe Biden, apabila pengeluaran besar-besaran selepas pencerobohan Rusia ke atas Ukraine sebelum ini menerima kritikan daripada ahli Republikan, termasuk Donald Trump, yang ketika itu merupakan rakyat biasa di antara penggal pertama dan kedua kepresidenan beliau.

Kongres telah menetapkan paras minimum SPR pada 252.4 juta tong, walaupun presiden boleh menurunkan angka berkenaan di bawah ambang itu ketika waktu kecemasan.

Rizab berkenaan juga perlu mengekalkan minyak mentah yang mencukupi bagi memastikan fleksibiliti operasinya.

SPR ditubuhkan selepas krisis minyak pada tahun 1970-an untuk melindungi ekonomi AS daripada gangguan bekalan yang besar.

Berdasarkan data sejarah EIA, ia pernah mencapai paras tertinggi dalam sejarah dengan melebihi 726 juta tong pada 2010.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top