Toronto: Mahkamah persekutuan Kanada mendengar rayuan berhubung keputusan imigresen yang menghalang pemain tengah Ghana, Thomas Partey, daripada menyertai skuad negaranya di Toronto bagi aksi pembukaan Piala Dunia.
Kerajaan Kanada sebelum ini menolak permohonan visa pemain berusia 32 tahun itu yang kini berdepan perbicaraan di England atas tuduhan rogol dan serangan seksual. Partey bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan.
Satu kenyataan FIFA mengesahkan bahawa bekas bintang Arsenal itu tidak dibenarkan memasuki sempadan Kanada bersama pasukan Ghana yang berpangkalan di Providence, Rhode Island.
Pada Sabtu lalu, Kementerian Luar Ghana menyatakan hasrat untuk campur tangan dalam isu berkenaan dengan menyifatkan keputusan Kanada menimbulkan persoalan besar mengenai keadilan dan perkadaran tindakan.
Jika rayuan itu gagal, Partey dijangka hanya akan menyertai semula skuad Ghana bagi dua aksi kumpulan seterusnya menentang England di Foxborough pada 23 Jun dan Croatia di Philadelphia pada 27 Jun.
Pemain yang kini beraksi bersama Villarreal itu memiliki 58 penampilan antarabangsa bersama Ghana dengan 16 gol, termasuk tiga jaringan sepanjang kempen kelayakan Piala Dunia 2026.
© New Straits Times Press (M) Bhd




