Arlington: England akan memulakan misi menamatkan kemarau 60 tahun tanpa gelaran Piala Dunia apabila membuka saingan Kumpulan L menentang Croatia di Arlington, Texas, Rabu ini.
Pengurus dari Jerman, Thomas Tuchel membuat kejutan apabila tidak menyenaraikan beberapa nama besar seperti Phil Foden, Cole Palmer, Harry Maguire dan Trent Alexander-Arnold dalam skuad 26 pemainnya.
Namun, sukar untuk mempertikaikan keputusannya selepas bekas pengendali Chelsea, Paris Saint-Germain dan Borussia Dortmund itu membimbing England mencatat rekod sempurna lapan kemenangan daripada lapan perlawanan kelayakan.
Pemain tengah berpengalaman, Jordan Henderson percaya pemilihan Tuchel mampu membentuk keserasian pasukan yang lebih kukuh menjelang kejohanan terbesar dunia itu.
“Sudah pasti akan ada detik sukar dalam kejohanan seperti Piala Dunia. Ia tidak akan berjalan seperti yang kita mahukan sepanjang masa.
“Akan ada saat kita perlu bangkit bersama dan semakin rapat hubungan dalam pasukan, semakin mudah untuk mengharunginya.
“Saya rasa kami berada di landasan yang baik. Kini kami hanya perlu memulakan perlawanan pertama dan menunjukkan kepada dunia betapa hebatnya kami,” katanya.
England dan Croatia akan bertemu buat kali keempat dalam kejohanan utama sejak 2004.
Walaupun England menang dalam dua pertemuan di Kejohanan Eropah, Croatia pernah melakar kenangan pahit buat The Three Lions apabila menang 2-1 selepas masa tambahan pada separuh akhir Piala Dunia 2018.
Ia menjadi pencapaian terbaik Croatia sejak merdeka daripada Yugoslavia dan membuat penampilan sulung di Euro 1996.
Skuad diketuai Luka Modric itu sekali lagi mara ke separuh akhir Piala Dunia 2022 sebelum tewas kepada juara akhirnya, Argentina.
Modric, yang bakal beraksi dalam Piala Dunia kelima, kini hanya memerlukan dua lagi penampilan untuk mencapai 200 kap antarabangsa bersama Croatia.
“Kekuatan terbesar Croatia dalam beberapa edisi Piala Dunia sebelum ini sentiasa terletak pada perpaduan dan ia perlu diteruskan kali ini.
“Kami bukan datang sekadar untuk melengkapkan jadual atau menjadi pelengkap kejohanan. Jika pasukan bersatu, kami mampu bersaing dengan sesiapa sahaja,” katanya.
Selain Modric, Croatia masih bergantung kepada Ivan Perisic, 37, dan Andrej Kramaric, 34.
Bagaimanapun, posisi penyerang utama dijangka menyaksikan persaingan antara Ante Budimir, Petar Musa dan Igor Matanovic.
Dalam aksi lain Kumpulan K, Cristiano Ronaldo dijangka memulakan Piala Dunia keenamnya pada usia 41 tahun apabila Portugal menentang Republik Demokratik Congo di Houston.
Ghana pula berdepan Panama dalam aksi yang dianggap wajib menang bagi kedua-dua pasukan, manakala Uzbekistan akan membuat penampilan sulung di Piala Dunia apabila menentang Colombia di Mexico City.
© New Straits Times Press (M) Bhd




