Winston-Salem: Kem latihan Jerman di Piala Dunia 2026 dikejutkan dengan kehadiran seekor ular berbisa yang mencetuskan kebimbangan dalam kalangan pemain dan pegawai pasukan.
Skuad kendalian Julian Nagelsmann berdepan ancaman reptilia berbahaya berkenaan di kem latihan mereka di Carolina Utara.
Kapten pasukan, Joshua Kimmich mendedahkan seekor ular yang dipercayai daripada spesies copperhead berbisa ditemui di kawasan kem latihan pasukan.
Menurut Kimmich, situasi itu pada mulanya dianggap lucu, namun persepsi mereka berubah selepas mengetahui risiko sekiranya digigit reptilia berkenaan.
“Apabila anda tahu jenis ular itu dan apa yang boleh berlaku jika digigit, ia tidak lagi kelihatan lucu.
“Jika digigit, anda perlu mendapatkan rawatan di hospital. Saya tidak fikir ia boleh membawa maut, tetapi ia sememangnya berbahaya,” katanya.
Kimmich berkata, pemain kini lebih berhati-hati ketika bergerak di kawasan latihan kerana tidak mahu berdepan sebarang risiko yang tidak dijangka.
“Kami berada di sini untuk membuat persiapan menghadapi kejohanan bola sepak terbesar dunia, tetapi tiba-tiba pemain terpaksa melihat ke bawah sebelum melangkah,” katanya.
Gigitan ular copperhead lazimnya tidak membawa maut, namun mangsa tetap perlu mendapatkan rawatan perubatan dengan segera.
Norway yang turut berpengkalan di Carolina Utara sepanjang kejohanan juga berada dalam keadaan berjaga-jaga terhadap ancaman reptilia itu.
Kapten Norway, Kristian Thorstvedt, mengakui tidak senang hati apabila dimaklumkan ular copperhead sememangnya banyak ditemui di kawasan berkenaan.
“Saya langsung tidak gembira mendengarnya,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




