Adakah keputusan pilih suara majoriti Bangsa Johor jadikan saya sombong? – Onn Hafiz

Adakah keputusan pilih suara majoriti Bangsa Johor jadikan saya sombong? – Onn Hafiz

JOHOR BAHRU – Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi mempertahankan keputusan Barisan Nasional (BN) Johor untuk bertanding di semua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada pilihan raya negeri (PRN) akan datang, sambil menegaskan langkah itu dibuat berdasarkan prinsip serta suara majoriti rakyat Johor.

Beliau berkata, keputusan tersebut tidak seharusnya ditafsirkan sebagai sikap sombong atau enggan bekerjasama dengan kerajaan Persekutuan sebagaimana didakwa sesetengah pihak.

“Keputusan BN Johor untuk bertanding di semua 56 kerusi adalah satu keputusan yang sukar untuk diterima oleh YAB Perdana Menteri.

“Adakah keputusan saya dan kepimpinan BN memilih untuk berprinsip dan mendengar suara majoriti Bangsa Johor menjadikan saya seorang yang sombong?” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Kenyataan itu sebagai respons kepada ucapan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Muar yang dilaporkan menggesa rakyat Johor memilih kepimpinan negeri yang bijak, berprinsip, tidak sombong serta mampu bekerjasama dengan kerajaan Persekutuan.

Mengulas perkara itu, Onn Hafiz menegaskan beliau tidak pernah menolak kerjasama dengan Putrajaya, malah sentiasa terbuka menerima pandangan dan bantuan demi kepentingan rakyat.

Menurutnya, kerajaan negeri selama ini turut membantu pelbagai sektor di bawah bidang kuasa Persekutuan termasuk pendidikan, keselamatan, pertahanan dan kesihatan.

Katanya, setiap tahun kerajaan negeri menyalurkan bantuan kepada sekolah dan bilik guru, selain membantu kemudahan di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ), ibu pejabat polis daerah (IPD), kem tentera, hospital serta klinik kerajaan.

“Malah apabila hasil negeri meningkat, kerajaan negeri bukan sahaja memberikan bantuan khas kewangan kepada penjawat awam negeri, tetapi turut menghargai penjawat awam Persekutuan yang berkhidmat di Johor.

“Bagi kerajaan negeri, yang lebih utama bukanlah kementerian atau kerajaan mana yang bertanggungjawab, tetapi sama ada rakyat Johor mendapat manfaat,” katanya.

Onn Hafiz turut menegaskan pelantikan Menteri Besar dan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Johor dibuat atas perkenan Sultan Johor, justeru kepimpinan negeri memikul amanah besar untuk menjaga kepentingan rakyat serta institusi diraja.

Beliau berkata, kenyataannya bukan bertujuan mengungkit jasa kerajaan negeri, sebaliknya menjelaskan bahawa Johor sentiasa memberikan kerjasama kepada kerajaan Persekutuan.

“Dengan rendah hati saya ingin bertanya, dalam perkara apakah kerajaan negeri Johor dikatakan tidak memberikan kerjasama, tidak menyokong atau tidak sehaluan dengan kerajaan Persekutuan?” katanya.

Scroll to Top