Foxborough, Massachusetts: Ketua jurulatih Iraq, Graham Arnold menegaskan anak buahnya tidak boleh berputus asa meskipun tewas 1-4 kepada Norway dalam aksi pembukaan Kumpulan I Piala Dunia, awal pagi tadi.
Menurut pengendali dari Australia itu, Iraq masih mempunyai dua lagi perlawanan untuk memburu kemenangan yang berpotensi membawa mereka ke pusingan kalah mati.
Norway terlebih dahulu membuka jaringan menerusi Erling Haaland pada minit ke-29 sebelum penyerang Iraq, Aymen Hussein menyamakan kedudukan.
Bagaimanapun, Haaland kembali meletakkan Norway di depan sebelum rehat separuh masa, manakala Leo Ostigard menambah gol ketiga pada minit ke-76 sebelum jaringan sendiri Hussein melengkapkan kemenangan bergaya pasukan Eropah itu.
Walaupun tewas, Arnold melihat banyak perkara positif daripada persembahan skuad Iraq yang kembali beraksi di pentas Piala Dunia selepas penantian 40 tahun.
“Kami memberikan tekanan yang baik kepada Norway, tetapi beberapa kesilapan kecil menentang pemain bertaraf dunia akan dihukum.
“Kami perlu belajar daripada kesilapan tersebut dan terus memperbaiki diri,” katanya.
Arnold mengakui gol kedua Norway yang berpunca daripada hantaran lemah ke belakang kepada penjaga gol, Jalal Hassan menjadi detik yang mengubah rentak perlawanan.
“Ia memberi kesan kepada mental pemain. Saya cuba menaikkan semangat mereka dan mengingatkan bahawa apa yang berlaku sudah berlalu dan kami perlu bergerak ke hadapan,” katanya.
Meskipun memulakan kempen dengan kekalahan, Arnold percaya peluang Iraq untuk mara ke pusingan kalah mati masih terbuka luas.
Norway kini mendahului Kumpulan I berdasarkan perbezaan jaringan, manakala Perancis turut mengutip tiga mata selepas menewaskan Senegal 3-1.
Dengan format baharu Piala Dunia yang membenarkan beberapa pasukan tempat ketiga terbaik mara ke pusingan seterusnya, Arnold berkata Iraq tidak perlu panik.
“Kami masih berada dalam saingan peringkat kumpulan dan masih ada sembilan mata untuk direbut.
“Kami perlu mengambil semua perkara positif daripada perlawanan ini dan bersedia untuk aksi berikutnya.
“Peluang untuk layak sebagai pasukan tempat ketiga masih ada dan tiga mata mungkin sudah mencukupi untuk membawa anda ke pusingan seterusnya,” katanya.
Arnold turut memuji persembahan Hussein yang berjaya mengharungi 90 minit permainan meskipun berdepan musim yang terganggu akibat kecederaan.
“Dia bekerja keras sepanjang perlawanan dan menunjukkan tenaga yang luar biasa. Sudah tentu gol yang dijaringkannya amat penting buat keyakinannya,” katanya.
Menjelang pertemuan getir menentang Perancis, Arnold turut menyeru penyokong Iraq untuk terus memberikan sokongan kepada pasukan.
“Berbanggalah dengan pemain-pemain ini.
“Teruskan menyokong mereka dan kekalkan semangat positif kerana perjalanan kami masih belum berakhir,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




