'Saya ambil alih parti, nama kita tukar' – Hamzah Zainudin

'Saya ambil alih parti, nama kita tukar' – Hamzah Zainudin

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Ahli Parlimen Larut, Datuk Seri Hamzah Zainudin menjelaskan penubuhan Parti Wawasan Negara tidak membabitkan pendaftaran parti baharu, sebaliknya dilakukan menerusi pengambilalihan sebuah parti sedia ada sebelum namanya ditukar.

“Saya ambil alih parti. Nama dia kita tukar,” katanya ringkas ketika ditanya mengenai status pendaftaran Parti Wawasan Negara selepas menghadiri pertemuan Ahli Parlimen Pembangkang di sini di Ibu pejabat PAS, hari ini.

Dalam perkembangan sama, Pengasas Gerakan RESET itu menegaskan isu parti tidak menjadi fokus utama pertemuan berkenaan, sebaliknya perbincangan tertumpu kepada persiapan menghadapi pilihan raya akan datang.

Beliau berkata, pelbagai perkara dibincangkan termasuk strategi bagi memastikan kemenangan calon Perikatan Nasional (PN) di Johor dan Negeri Sembilan.

“Memanglah apabila kita mengadakan perjumpaan, sudah tentu banyak perkara yang kita bincangkan.

“Maklum sajalah, Johor sudah pun ada penetapan waktu. Kita tentukan bagaimana caranya untuk kita pastikan kemenangan bagi calon-calon kita. Begitu juga di Negeri Sembilan.

“Jadi semua perbincangan itu membabitkan rakan-rakan, terutamanya yang ada pertemuan dengan parti,” katanya.

Hamzah turut menegaskan semua Ahli Parlimen PN bersetuju dengan keputusan yang diumumkan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang berhubung kepimpinan pembangkang.

“Perkara itu telah diumumkan oleh Tan Sri Hadi pada Sabtu lalu. Dan hari ini juga benda itu dikonfirmasi.

“Seratus peratus semua setuju,” katanya ketika ditanya sama ada terdapat Ahli Parlimen PN yang tidak bersetuju dengan keputusan berkenaan.

Sementara itu, Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid, berkata mesyuarat yang dihadiri itu ada membincangkan kedudukan ketua pembangkang, hala tuju Pilihan Raya Negeri (PRN).

“Kita bincang kedudukan ketua pembangkang, hala tuju PRN, (tetapi) soal tukar kedudukan kerusi dalam parlimen tak bincang lagi, semua setuju Hamzah kekal ketua pembangkang,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top