Padah sewa pas Piala Dunia, lelaki ditahan polis

Padah sewa pas Piala Dunia, lelaki ditahan polis

Mexico City: Seorang lelaki ditahan polis selepas didakwa cuba menyewakan pas akreditasi rasmi Piala Dunia 2026 miliknya menerusi media sosial bagi membolehkan individu lain memasuki stadium tanpa kebenaran.

Polis Mexico City dalam kenyataan memaklumkan suspek berusia 24 tahun itu ditahan berhampiran Stadium Azteca pada Rabu selepas cuba mengaktifkan semula pas akreditasinya.

Penahanan dibuat susulan laporan wakil perundangan penganjur Piala Dunia yang mengesan iklan tawaran menyewa pas berkenaan di media sosial.

Bagaimanapun, pihak berkuasa tidak mendedahkan jumlah bayaran yang didakwa diminta suspek untuk menyewakan pas tersebut.

Mexico City menjadi antara lokasi utama Piala Dunia 2026 dan akan menganjurkan beberapa perlawanan termasuk aksi membabitkan pasukan tuan rumah, Mexico.

Pada hari sama, pendatang baharu kejohanan, Uzbekistan, dijadual menentang Colombia dalam aksi Kumpulan K di ibu negara Mexico itu.

Suspek yang identitinya tidak didedahkan sudah diserahkan kepada pejabat pendakwa raya untuk tindakan lanjut dan menentukan status perundangannya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top