Cuba sembunyi bawah katil, 73 warga asing ditahan di Johor Bahru

Cuba sembunyi bawah katil, 73 warga asing ditahan di Johor Bahru

am@hmetro.com.my

Johor Bahru: Menyorok di bawah katil selain ada antaranya menyelinap dan bersembunyi di ruangan sempit kediaman.

Itu antara tindakan sebahagian daripada 73 warga asing yang ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) negeri Johor atas pelbagai kesalahan menerusi Ops Sapu’ dilaksanakan di bangunan rumah kedai serta kediaman di sekitar bandar raya ini.

Pengarah Imigresen Johor, Datuk Mohd Rusdi Mohd Darus berkata, Ops Sapu terbabit dilaksanakan di 17 rumah kediaman serta rumah kedai sekitar daerah ini yang dijadikan sebagai tempat tinggal mulai jam 11 malam kelmarin.

Beliau berkata, ketika serbuan dijalankan, terdapat pendatang asing tanpa izin (PATI) cuba melarikan diri bagi mengelak pemeriksaan oleh anggota penguat kuasa.

Menurutnya, pemeriksaan turut menemukan beberapa individu yang bertindak menyembunyikan diri di ruangan sempit.

Katanya, malah ada yang bersembunyi di bawah katil dalam usaha mengaburi pihak berkuasa.

“Namun tindakan terbabit gagal apabila anggota penguat kuasa berjaya mengesan dan menahan kesemua individu terbabit hasil pemeriksaan menyeluruh yang dijalankan di setiap premis sasaran,” katanya semalam.

Beliau berkata, dalam operasi itu seramai 73 warga asing ditahan atas pelbagai kesalahan imigresen.

Menurutnya, mereka yang ditahan terdiri daripada 16 lelaki dewasa Indonesia, lima lelaki dewasa Myanmar, empat lelaki dewasa Bangladesh, seorang lelaki dewasa warga India, seorang kanak-kanak lelaki Myanmar, 22 wanita dewasa Indonesia, 22 wanita dewasa Myanmar, seorang kanak-kanak perempuan Indonesia dan seorang kanak-kanak perempuan Myanmar.

Katanya, hasil pemeriksaan mendapati PATI terbabit tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah serta tinggal melebihi tempoh yang dibenarkan berusia dalam lingkungan 10 bulan hingga 40 tahun.

“Kesemua individu yang ditahan disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan ditempatkan di Depot Imigresen Setia Tropika di sini untuk siasatan lanjut dan tindakan selanjutnya mengikut peruntukan undang-undang.

“Operasi dijalankan hasil risikan dan pemantauan berterusan itu melibatkan pemeriksaan ke atas beberapa premis yang dikenal pasti menjadi lokasi penempatan PATI.

“JIM Johor akan terus komited mempergiat operasi penguatkuasaan secara berterusan bagi membanteras sebarang bentuk pelanggaran undang-undang imigresen serta memastikan keselamatan dan kedaulatan negara sentiasa terpelihara.

“Orang ramai turut digalakkan untuk menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa bagi membantu usaha penguatkuasaan ini,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top