Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, mendakwa kegagalan Perikatan Nasional (PN) untuk membentuk kerajaan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) berpunca daripada sikap hasad dan ego seorang individu yang didakwanya enggan memberi laluan kepada calon lain.
Bekas Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu berkata, perkara tersebut didakwa didedahkan oleh Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang, yang menurutnya menjelaskan keadaan ketika usaha membentuk kerajaan selepas PRU15 berlangsung.
Wan Ahmad Fayhsal berkata, selepas keputusan PRU15, pihak Istana dikatakan bersedia menerima nama lain daripada PN untuk dipertimbangkan sebagai calon, manakala PAS juga bersedia mencalonkan individu lain.

Dalam masa sama, beliau mendakwa Ahli Parlimen Bersatu (asal) turut bersedia mengemukakan nama alternatif bagi tujuan tersebut.
Namun menurutnya, situasi itu menjadi rumit apabila terdapat individu yang tetap berkeras mahu menjadi calon tunggal dengan alasan hanya dirinya layak.
“Alkisah selepas gagal membentuk kerajaan, istana bersedia menerima nama lain daripada PN dan Pas juga bersedia menamakan calon lain, malah Ahli Parlimen Bersatu (asal) turut bersedia.
“Tetapi orang itu tetap berkeras, hanya aku seorang yang boleh dan layak,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Khamis.

Dalam pada itu, beliau turut mendakwa sikap hasad, angkuh dan keakuan menjadi punca kepada kemelut dalaman PN ketika itu, yang disifatkan sebagai ‘api dalam sekam’ serta menjadi faktor melemahkan organisasi gabungan berkenaan.
Beliau turut mengumpamakan keadaan tersebut sebagai ‘barah’ yang menurutnya telah menjejaskan struktur dalaman PN sebelum tindakan pembetulan dilakukan.
Sebelum ini, Wan Ahmad Fayhsal turut mendakwa kegagalan pengurusan konflik dalaman oleh kepimpinan PN, termasuk Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin, telah memberi kesan kepada kestabilan parti dan gabungan tersebut, sekali gus meletakkan Bersatu di ambang kehancuran pada ketika itu.
Sumber: FB Wan Ahmad Fayhsal




