Muhyiddin kekal didapati fitnah! Ganti rugi dikurangkan, perlu bayar Guan Eng RM450,000

Muhyiddin kekal didapati fitnah! Ganti rugi dikurangkan, perlu bayar Guan Eng RM450,000

Bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berjaya mengurangkan jumlah ganti rugi yang perlu dibayar kepada Penasihat DAP, Lim Guan Eng daripada RM1.35 juta kepada RM450,000.

Keputusan itu dibuat panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang dipengerusikan Datuk Azhahari Kamal Ramli bersama Datuk Ahmad Kamal Md. Shahid dan Datuk Seri Latifah Mohd. Tahar yang sebulat suara mendapati jumlah ganti rugi sebelum ini adalah berlebihan.

Bagaimanapun, panel sama mengekalkan dapatan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bahawa Presiden Bersatu itu tetap memfitnah Lim berhubung isu pembatalan pengecualian cukai terhadap sebuah yayasan kebajikan.

Hakim Azhahari ketika membacakan penghakiman ringkas berkata mahkamah mendapati tiada alasan untuk mengganggu dapatan Pesuruhjaya Kehakiman sebelum ini yang memutuskan tiga kenyataan dibuat Muhyiddin adalah berunsur fitnah.

“Kami juga bersetuju bahawa pembelaan berdasarkan justifikasi, perlindungan bersyarat dan komen yang adil tidak terpakai,” katanya.

Mahkamah turut memutuskan bahawa jumlah ganti rugi terdahulu adalah terlalu tinggi dan tiada asas untuk ganti rugi teruk serta teladan dikenakan.

Artikel lain: Muhyiddin pengasas PN? Bukan, tahyul! Hanya mahu ‘claim credit’ – Wan Saiful

Dalam masa sama, mahkamah membenarkan rayuan silang Lim Guan Eng berhubung faedah terhadap jumlah ganti rugi, dengan menetapkan kadar lima peratus setahun bermula dari tarikh penghakiman sehingga penyelesaian penuh.

Mahkamah turut memerintahkan Muhyiddin membayar kos sebanyak RM35,000.

Sebelum ini, pada 8 November 2024, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memerintahkan Muhyiddin membayar RM1.35 juta selepas didapati memfitnah Lim berhubung isu sama, dengan RM1.05 juta ganti rugi am serta RM150,000 masing-masing bagi ganti rugi teruk dan teladan.

“Tiada alasan untuk mengganggu dapatan bahawa kenyataan itu adalah fitnah,” kata Hakim Azhahari.

Sumber: Utusan Online (Suwarni Mokhtar)

Scroll to Top