Pelakon dan usahawan, Zul Yahya menegaskan bahawa dirinya tidak akan kembali lagi berlakon meskipun menerima pelbagai tawaran setelah lebih sedekad meninggalkan dunia seni.
Tak mahu kembali berlakon

Memetik laporan HibGlam, pemilik nama, Zulkifli Yahya, 53, berkata keputusan tersebut dibuat demi menjaga kebajikan serta masa depan anak-anaknya, walaupun perniagaan yang diusahakan menghadapi turun naik sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
“Dulu memang pernah ada tawaran tetapi mungkin ramai tahu saya akan tolak, jadi sekarang saya tidak lagi menerima apa-apa tawaran. Ramai juga kawan lama yang dah bergelar pengarah ajak saya masuk set.
“Mereka pun faham bila saya tolak. Bukan sebab saya dah berhijrah, cuma apabila dah ada anak-anak, saya tak mahu benda itu (kemasyhuran) sedikit sebanyak bagi kesan kepada mereka,” katanya, baru-baru ini.
Menurut bapa kepada tujuh orang cahaya mata itu, dirinya tidak mahu anak-anak terkesan dengan tekanan atau perhatian akibat populariti sekiranya masih aktif dalam dunia lakonan.

“Bukan saya tak nak berlakon kerana rasa dunia ini tak berapa bagus rezekinya, tidak. Dunia sekarang sangat terdedah dengan kemasyhuran. Tanpa televisyen pun boleh popular dengan melalui media sosial sahaja.
“Lagipun, kemasyhuran sekarang tak sama macam era lalu. Kemasyhuran hari ini kalau tak dikawal, boleh tergelincir dan membawa kepada benda memudaratkan. Saya sangat menitikberatkan mereka hidup dalam keadaan selamat.
“Saya kena cari jalan rezeki mana yang lebih baik untuk kami sekeluarga. Saya nak anak-anak lihat susah payahnya saya dan ibu mereka mencari rezeki. Dari situ, mereka juga dapat belajar sesuatu,” ujarnya.
Tambah pelakon yang pernah mencipta nama pada era 2000-an itu, semua anaknya mengetahui latar belakangnya sebagai seorang pelakon kerana masih terdapat koleksi majalah dan VCD lama yang disimpan di rumah.
“Mereka tahu bapa mereka pelakon sebab di rumah pun masih banyak majalah lama, cuma di kediaman saya memang tiada TV (televisyen),” katanya.
Artikel lain: Nak jaga nama baik jemaah, Zul Yahya ambil keputusan keluar dari tabligh
Sementara itu, Zul dan keluarganya turut menerima sumbangan wang tunai daripada Ketua Pegawai Operasi Finas, Datuk Azmir Saifuddin Mutalib, bagi membantu meringankan kesulitan hidup yang dihadapi.
Untuk rekod, pelakon filem Usin UFO itu meninggalkan dunia lakonan sekitar tahun 2016 sebelum berpindah ke Perak untuk memberi tumpuan sepenuhnya kepada perniagaan. Namun, perniagaan yang diusahakan turut terjejas apabila pandemik COVID-19 melanda dan menjejaskan operasinya.
Sumber: HibGlam (Hanisah Selamat)




