Slam jamin konsert terbaik, mahu kembalikan persembahan terdahulu

Slam jamin konsert terbaik, mahu kembalikan persembahan terdahulu

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Meskipun pernah berdepan masalah tulang belakang atau skoliosis, vokalis kumpulan Slam, Zamani tetap menjanjikan akan memberi persembahan terbaik pada konsert The Grand Slam Unplugged 2 di Mega Star Arena Kuala Lumpur, Sabtu ini.

Zamani atau nama sebenarnya, Zamani Ibrahim, 55, berkata dia bersama anggota Slam mengambil masa kira-kira sebulan untuk membuat persiapan rapi bagi menjayakan konsert berkenaan.

Katanya, tempoh sesi latihan selama sebulan penting bagi memastikan dirinya serta anggota lain dapat mengembalikan keserasian dan sentuhan persembahan seperti dahulu.

“Pada awalnya, memang saya agak bimbang apabila perlu menjayakan persembahan kira-kira dua jam setengah untuk konsert ini apatah lagi dengan keadaan kesihatan saya ketika ini.

“Tetapi, selepas buat sesi latihan dalam tempoh sebulan ini, saya bersyukur kerana makin lama saya dapat membiasakan diri.

“Sehinggalah pada fasa akhir sesi latihan kelmarin dan hari ini bersama orkestra, saya dapat buat dengan baik,” katanya ketika ditemui pada sesi latihan konsert berkenaan bersama Orkestra Simfoni Kebangsaan (OSK) di Istana Budaya, di sini, hari ini.

Selain Zamani, kumpulan Slam menampilkan anggota iaitu Shah (gitar), Lili (gitar bes), Man (dram) dan Eddie (keyboard).

Kata Zamani, keputusan menjalani latihan lebih panjang juga mengambil kira faktor usia anggota kumpulan yang semakin meningkat serta keadaan kesihatan masing-masing.

“Tempoh masa sebulan diambil untuk buat latihan itu salah satunya disebabkan faktor umur kami semua.

“Dengan umur kami semua yang sudah meningkat, kemungkinan berdepan juga masalah kesihatan.

“Jadi, tempoh latihan selama sebulan ini adalah sebagai usaha untuk kami gilap kembali apa yang sepatutnya dan dapatkan sentuhan lama,” katanya.

Konsert The Grand Slam Unplugged 2 diadakan tiga dekad selepas kemunculan sulung mereka menerusi konsert ‘unplugged’ di Stadium Merdeka pada 3 Ogos 1996.

Menerusi konsert itu, Slam turut menjemput tiga gitaris legenda, iaitu Aznan Alias, JoBranko dan Kid Search.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top