puterialia@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Enggan terus menjadi mangsa salah faham, pelakon, Fattah Amin tampil menjelaskan tindakan peguamnya mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung dakwaan kes memukul pembantu rumah yang tular, baru-baru ini.
Menurut Fattah atau nama sebenarnya, Abdul Fattah Mohd Amin, 36, tindakan drastik itu terpaksa diambil selepas mendapati masih ada pihak yang tidak memahami situasi sebenar sehingga mengaitkan namanya dengan jenayah berkenaan.
“Sebenarnya peguam kami dah pun keluarkan kenyataan baru-baru ini. Jadi saya tak bercadang untuk ulas lebih lanjut kerana enggan mencetuskan lagi kekeliruan. Kami sebenarnya tak sangka isu itu boleh jadi tular.
“Mungkin ada juga yang tidak jelas, tidak faham atau tidak tahu mengenai perkara sebenar. Jadi, kami keluarkan satu kenyataan untuk membuat penjelasan bahawa saya tidak ada kena-mengena dengan isu berkenaan,” katanya ketika ditemui di acara Picklebash 2.0 di Bukit Kiara, di sini, hari ini.
Pelakon filem Mat Kilau itu bagaimanapun memilih untuk mengunci mulut dan tidak berhasrat mengulas panjang kerana kes terbabit kini dalam siasatan polis.
“Setakat yang saya tahu, kes itu masih lagi dalam urusan pihak polis dan peguam,” katanya.
Terdahulu, pada 13 Jun lalu tular sebuah video memaparkan insiden keganasan fizikal membabitkan empat individu terhadap seorang wanita warga Indonesia yang dipercayai bekerja sebagai pembantu rumah.
Impak daripada penularan video itu, ada segelintir netizen yang tidak bertanggungjawab mula membuat perkongsian berbaur fitnah dengan memetik nama Fattah dan Amira kononnya terbabit dalam insiden berkenaan.
Justeru, firma guaman Arief & Iskandar Advocates & Solicitors yang mewakili pasangan berkenaan mengeluarkan kenyataan rasmi bagi menafikan sekeras-kerasnya dakwaan netizen.
Wakil firma guaman itu turut menegaskan bahawa Fattah dan Amira bukanlah individu yang berada dalam klip video berkenaan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




