SHAH ALAM – Malaysia berisiko kehilangan lebih ramai pakar perubatan ke luar negara sekiranya isu ketidakpastian dalam proses pemilihan latihan subkepakaran tidak ditangani segera.
Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Datuk Dr R Thirunavukarasu, keadaan itu berlaku apabila pakar yang ingin mengikuti latihan subkepakaran kini berdepan ketidakpastian yang semakin meningkat berhubung syarat kelayakan yang ditetapkan.
Menurut beliau, walaupun program latihan tersebut dikendalikan oleh Kementerian Kesihatan (KKM), peraturan kelayakan serta keperluan laporan nilaian prestasi tahunan (LNPT) berada di bawah bidang kuasa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), sekali gus menimbulkan kekeliruan dan kebimbangan dalam kalangan pegawai perubatan yang berhasrat melanjutkan latihan subkepakaran.
“Ini bermakna kementerian yang bertanggungjawab membangunkan tenaga kerja kesihatan tidak mempunyai kawalan sepenuhnya terhadap peraturan yang mengawal kemajuan ke latihan subkepakaran.
“MMA telah membangkitkan kebimbangan ini kepada kepimpinan tertinggi kementerian baru-baru ini. Kami bersuara secara terbuka sekarang kerana para pakar dan pesakit yang bergantung kepada mereka tidak mampu menghadapi satu lagi kitaran ketidakpastian.
“Kami amat bimbang mengenai keperluan LNPT bagi pengambilan sesi 2026/2027, yang telah berubah daripada tiga penilaian terbaik dalam tempoh lima tahun kepada tiga tahun berturut-turut,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Mengulas lanjut, beliau berkata, dengan kira-kira 70 peratus rakyat Malaysia yang bergantung kepada sistem penjagaan kesihatan awam, setiap kehilangan tenaga subpakar memberi impak langsung kepada pesakit.
Keadaan tersebut ujarnya, boleh menyebabkan tempoh menunggu rawatan menjadi lebih panjang, kelewatan dalam mendapatkan intervensi perubatan serta akses yang semakin terhad kepada perkhidmatan kepakaran
“Malaysia bukan menghadapi lebihan pakar, sebaliknya sedang berdepan kekurangan pakar yang kritikal. Ketika negara sedang berusaha menutup jurang tersebut, halangan kepada latihan subkepakaran perlu dikurangkan, bukannya ditambah,” katanya.
Thirunavukarasu dalam masa sama turut membangkitkan isu melibatkan doktor yang mengikuti latihan sarjana yang diiktiraf kerajaan.
Menurutnya, walaupun golongan berkenaan terus memberikan perkhidmatan kepada pesakit sepanjang tempoh latihan, tahun latihan mereka sering direkodkan sebagai cuti belajar sehingga menyebabkan wujud jurang dalam rekod LNPT.
“Doktor tidak sepatutnya dipenalti kerana mengikuti latihan yang diiktiraf kerajaan sambil terus berkhidmat dalam sistem kesihatan awam.
“Kerajaan yang menaja dan mengiktiraf latihan tersebut juga perlu mengiktiraf perkhidmatan yang diberikan sepanjang tempoh berkenaan,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa isu tersebut bukan sekadar melibatkan pengurusan tenaga kerja, sebaliknya mempunyai implikasi besar terhadap perkhidmatan kesihatan awam.



