Anwar gesa ASEAN, Rusia perkukuh kerjasama strategik

Anwar gesa ASEAN, Rusia perkukuh kerjasama strategik

KAZAN – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa ASEAN dan Rusia memperkukuh kerjasama dalam pelbagai bidang strategik, sambil menegaskan bahawa dialog dan diplomasi mesti terus menjadi asas dalam menangani konflik serta ketegangan geopolitik.

Menyampaikan Kenyataan Negara pada sesi pleno Sidang Kemuncak Peringatan ASEAN-Rusia, beliau berkata, platform itu menjadi medan penting untuk menjalin kerjasama dalam suasana global yang semakin mencabar dan tidak menentu.

Anwar turut menekankan kepentingan mengeratkan kerjasama dalam bidang perdagangan dan pelaburan, digital, sains dan teknologi, kecerdasan buatan (AI), tenaga, keterjaminan makanan, industri halal serta hubungan antara rakyat demi menjana manfaat yang lebih besar kepada negara-negara ASEAN dan Rusia.

“Malaysia kekal berpegang bahawa keamanan yang berkekalan hanya dapat dicapai melalui rundingan, persefahaman dan penghormatan terhadap undang-undang antarabangsa,” katanya.

Menyentuh perkembangan di Asia Barat, perdana menteri sekali lagi mengulangi pendirian Malaysia yang menuntut agar keganasan di Gaza dihentikan serta-merta, bantuan kemanusiaan disalurkan tanpa halangan dan hak rakyat Palestin untuk menentukan masa depan mereka sendiri terus dipertahankan.

Malaysia juga mengecam perluasan tindakan ketenteraan rejim Zionis Israel ke Lubnan serta mengutuk sebarang serangan terhadap Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL), katanya.

Anwar berkata, beliau yakin ASEAN dan Rusia mempunyai ruang yang luas untuk memperkukuh kerjasama berasaskan hormat, manfaat bersama serta komitmen terhadap keamanan, kestabilan dan kemakmuran sejagat.

Sidang kemuncak kali ini turut menandakan ulang tahun ke-35 hubungan ASEAN-Rusia yang terjalin sejak 1991 di Kuala Lumpur.

Selain  Anwar, Sidang Kemuncak Peringatan ASEAN-Rusia itu turut dihadiri Presiden Filipina Ferdinand Marcos Jr, yang juga Pengerusi ASEAN tahun ini serta pemimpin dan wakil negara anggota ASEAN yang lain.

Sidang kemuncak dua hari itu menjadi platform tertinggi bagi ASEAN dan Rusia membincangkan kerjasama strategik serta isu-isu serantau dan antarabangsa yang berkepentingan bersama.

Sebelum ini, Kementerian Luar Malaysia berkata, sidang kemuncak ini memberi peluang kepada ASEAN dan Rusia untuk meneliti semula kemajuan yang dicapai sejak 35 tahun lepas dan merangka hala tuju kerjasama masa depan di bawah Perkongsian Strategik ASEAN-Rusia.

Sidang kali ini dijangka menerima pakai empat dokumen utama iaitu Deklarasi Kazan mengenai Ulang Tahun ke-35 Hubungan ASEAN-Rusia, Kenyataan Bersama mengenai Kerjasama Tenaga, Kenyataan Bersama mengenai Kerjasama Kebudayaan dan Pelan Tindakan Komprehensif untuk Melaksanakan Perkongsian Strategik ASEAN-Rusia 2026-2030.

Dokumen tersebut akan menjadi panduan kerjasama ASEAN-Rusia bagi tahun-tahun yang akan datang dan menyokong usaha untuk membina perkongsian yang lebih berdaya tahan dan berorientasikan masa depan.- Bernama 

Scroll to Top