Barisan pemimpin zahir ucapan takziah kepada Nancy

Barisan pemimpin zahir ucapan takziah kepada Nancy

Kuala Lumpur: Beberapa pemimpin mengucapkan takziah kepada Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri atas pemergian suaminya, Datuk Kamil Misuari petang tadi.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata pemergian insan tersayang yang menjadi teman hidup dan sahabat seperjalanan merupakan satu ujian yang amat berat.

Beliau turut mendoakan agar Nancy dan keluarga terus dikurniakan kekuatan serta ketabahan hati dalam menghadapi saat yang penuh dukacita ini.

“Sama-sama kita mendoakan agar Allah SWT mengampunkan segala dosa Allahyarham, menerima segala amal kebajikannya serta menempatkan roh Allahyarham dalam kalangan hamba-hamba-Nya yang beriman dan beroleh rahmat-Nya,” katanya menerusi hantaran dalam Facebook.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail juga menzahirkan ucapan takziah kepada Nancy dan seluruh keluarga serta mendoakan mereka dikurniakan ketabahan menghadapi dugaan itu dan dipermudah segala urusan.

“Semoga Allah SWT juga mencucuri rahmat ke atas Allahyarham Datuk Kamil bin Misuari, mengampunkan dosa-dosa dan menempatkan beliau dalam kalangan hamba-hamba-Nya yang beriman dan soleh,” katanya di Facebook.

Sementara itu, Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil mendoakan agar Nancy dan keluarga dikurniakan kekuatan, ketabahan serta dipermudah segala urusan dalam menghadapi saat yang sukar.

“Semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas roh Allahyarham, mengampunkan segala dosanya dan menempatkan beliau dalam kalangan orang yang beriman,” katanya.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu turut mendoakan Nancy dan keluarga kekuatan, ketabahan serta kesabaran dalam menghadapi saat yang amat mendukacitakan ini.

“Semoga Allah SWT mengampuni segala dosa Allahyarham, melimpahkan rahmat dan kasih sayang-Nya, melapangkan kuburnya serta menempatkan roh Allahyarham dalam kalangan hamba-hamba-Nya yang beriman dan beramal soleh,” katanya.

Menteri Sumber Manusia Datuk Seri R. Ramanan turut merakamkan ucapan takziah kepada Nancy dan keluarganya.

“Sesungguhnya kehilangan insan yang dikasihi merupakan satu ujian yang amat berat untuk keluarga,” katanya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak) Datuk Mustapha Sakmud pula berkata sesungguhnya kehilangan insan yang disayangi merupakan satu ujian yang amat berat.

“Semoga Allah SWT mengurniakan kekuatan dan kesabaran kepada seluruh keluarga dalam menghadapi waktu yang sukar ini,” katanya.

Terdahulu, Pejabat Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menerusi satu kenyataan memaklumkan Kamil meninggal dunia di sebuah hospital di sini petang tadi.

Jenazah Allahyarham akan dibawa pulang ke Kuching, Sarawak dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Samariang esok.

Allahyarham yang berusia 65 tahun berkahwin dengan Nancy pada 1985 dan dikurniakan tiga cahaya mata.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top