Nik Nazmi nafi kaitan dakwaan bayaran RM53 juta pindah Dara, Amoi dan Kelat ke Zoo Tennoji

Nik Nazmi nafi kaitan dakwaan bayaran RM53 juta pindah Dara, Amoi dan Kelat ke Zoo Tennoji

Kuala Lumpur: Bekas Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad, menafikan sebarang pembabitan dalam amalan rasuah yang didakwa berkaitan pemindahan tiga gajah dari Malaysia ke sebuah zoo di Jepun.

Beliau menyifatkan dakwaan terhadap dirinya dan bekas pejabatnya sebagai langsung tidak berasas, sekali gus mengalu-alukan sebarang siasatan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Setakat yang melibatkan saya, saya boleh menafikan sepenuhnya bahawa pejabat saya atau saya sendiri terlibat dalam sebarang amalan rasuah berhubung perkara ini.

“Jika mereka mahu membuat aduan, itu tidak mengapa. SPRM atau mana-mana pihak lain harus diberikan ruang untuk menyiasat perkara ini,” katanya kepada New Straits Times.

Terdahulu kumpulan hak hidupan liar mendakwa bayaran hasil pemindahan tiga gajah dari Malaysia ke sebuah zoo di Jepun tidak dimasukkan ke dalam tabung kerajaan, sebaliknya berakhir di tangan individu tertentu.

Peguam Hak Asasi Hidupan Liar Malaysia (HIDUP), Sachpreetraj Singh Sohanpal, berkata kumpulan itu berhasrat membuat aduan kepada SPRM berhubung pemindahan tiga gajah terbabit iaitu Dara, Amoi dan Kelat ke Zoo Tennoji di Osaka, namun tidak dibenarkan memasuki ibu pejabat suruhanjaya itu.

Sejumlah RM53 juta didakwa disalurkan kepada individu tertentu dan bukannya kepada entiti kerajaan, serta beberapa pihak termasuk pegawai jabatan akan berdepan pertuduhan.

Nik Nazmi mengulas kenyataan HIDUP yang menggesa SPRM menyiasat beliau serta Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) berhubung perkara itu.

Beliau berkata, walaupun perbincangan awal mengenai pemindahan gajah itu bermula ketika beliau masih memegang jawatan menteri, kelulusan akhir diberikan lama selepas beliau meninggalkan kementerian pada Julai 2025.

“Walaupun perbincangan bermula ketika saya masih memegang jawatan, kelulusan diberikan selepas saya tidak lagi memegang jawatan.

“Keputusan muktamad dibuat selepas Julai 2025,” katanya.

Beliau turut menjelaskan bahawa urusan tersebut bukanlah penjualan hidupan liar secara komersial, sebaliknya satu pemindahan rentas sempadan.

“Ia bukan satu jualan. Hak milik dan sebagainya masih berkaitan dengan Zoo Taiping, terdapat beberapa maklumat yang tidak tepat sedang tersebar.

“Apabila hidupan liar dipindahkan keluar dari Malaysia, kerajaan perlu memberikan persetujuan.

“Ia adalah pemindahan dari Zoo Taiping ke Zoo Tennoji,” katanya.

Beliau berkata, perjanjian itu adalah antara Zoo Taiping dan Zoo Tennoji, bukannya perjanjian secara langsung antara kerajaan dengan kerajaan.

“Bagaimanapun, kerana urusan itu membabitkan pemindahan hidupan liar ke luar negara, kelulusan akhir perlu diperoleh daripada PERHILITAN dan kementerian.

“Banyak perbincangan sudah diadakan antara kerajaan dan pihak berkepentingan.” katanya.

Ditanya siapa yang akhirnya meluluskan pemindahan itu, Nik Nazmi berkata keputusan akhir memerlukan kelulusan menteri, namun menegaskan ia tidak berlaku semasa beliau masih memegang jawatan berkenaan.

“Saya tidak ingat butiran tepatnya, tetapi ia sememangnya berlaku selepas tempoh saya,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top