Kansas City, Missouri: Ecuador berdepan Curacao, Ahad ini, dengan kedua-dua pasukan sedar mereka tidak boleh lagi tercicir mata selepas tewas pada aksi pembukaan Piala Dunia.
Diundi bersama Jerman dan Ivory Coast dalam Kumpulan E, Ecuador hadir ke kejohanan itu dengan reputasi sebagai pasukan yang memiliki benteng pertahanan ampuh.
Namun, kempen mereka bermula dengan kekalahan 0-1 kepada Ivory Coast walaupun berjaya mencipta beberapa peluang.
Skuad kendalian Sebastian Beccacece kini perlu bangkit kerana sebarang keputusan selain kemenangan akan menyukarkan peluang mereka sebelum bertemu Jerman pada aksi terakhir kumpulan.
“Apabila permulaan tidak seperti yang diharapkan, perasaan cemas akan hadir.
“Tetapi sekarang kami memerlukan lebih keyakinan berbanding sebelum ini,” katanya.
Identiti Ecuador masih jelas dengan kekuatan pertahanan yang hanya melepaskan lima gol dalam 18 perlawanan kelayakan.
Barisan belakang mereka diketuai Willian Pacho dari Paris Saint-Germain dan Piero Hincapie dari Arsenal, manakala Moises Caicedo dari Chelsea menjadi nadi bahagian tengah.
Di jentera serangan, penyerang berpengalaman Enner Valencia masih menjadi sandaran dan ketua pasukan.
Cabaran utama Ecuador adalah mencari keseimbangan antara corak permainan yang tersusun dengan ketajaman di depan gol.
Bagi Curacao, perlawanan ini menjadi satu lagi langkah penting dalam perjalanan bersejarah mereka di Piala Dunia.
Negara Caribbean dengan populasi sekitar 156,000 penduduk itu muncul negara paling kecil pernah layak ke Piala Dunia dan tiba ke kejohanan tanpa kalah dalam kempen kelayakan.
Namun, penampilan sulung mereka berakhir dengan kekalahan 1-7 kepada juara empat kali, Jerman, walaupun berjaya menjaringkan gol pertama dalam sejarah Piala Dunia negara itu.
Jurulatih berpengalaman, Dick Advocaat dijangka terus menggunakan pendekatan pragmatik yang membawa Curacao ke pentas dunia.
Kapten Leandro Bacuna akan mengetuai jentera tengah, manakala Juninho Bacuna dan Jurgen Locadia memberi pengalaman kepada skuad yang dibarisi ramai pemain berpangkalan di Belanda.
Curacao dijangka terus mengamalkan corak bertahan dan mengharapkan serangan balas, pendekatan yang berjaya ketika kelayakan tetapi gagal mengekang kekuatan Jerman.
© New Straits Times Press (M) Bhd




