Taktikal genius Yakin tuai hasil

Taktikal genius Yakin tuai hasil

Inglewood: Jurulatih Switzerland, Murat Yakin menyifatkan pertukaran dua pemain yang dirancang dengan teliti selepas rehat hidrasi kedua menjadi faktor kemenangan 4-1 pasukannya ke atas Bosnia dan Herzegovina, awal pagi tadi.

Pertembungan dalam Kumpulan B itu kelihatan bakal berakhir tanpa jaringan apabila Bosnia berjaya mengekang pendekatan Switzerland yang banyak menguasai bola, sebelum pemain gantian Johan Manzambi memecah kebuntuan pada minit ke-74, hanya tiga minit selepas dimasukkan ke dalam perlawanan.

Vargas, yang turut dimasukkan pada lewat permainan menjaringkan gol kedua sebelum membantu satu lagi jaringan yang dihasilkan Manzambi.

Granit Xhaka kemudian melengkapkan kemenangan besar itu menerusi sepakan penalti pada masa kecederaan selepas Bosnia terpaksa bermain dengan 10 pemain.

“Amat penting untuk kami mempunyai tenaga yang maksimum di atas padang. Itulah strategi kami.

“Kami perlu sabar dan terus kekal dalam permainan. Adalah penting bahawa selepas rehat hidrasi kedua kami mengubah beberapa perkara. Itulah kelebihan yang kami miliki. Kami membawa masuk pemain yang pantas. Lawan kami banyak berlari dan ia membuka ruang.

“Kami boleh membuat pertukaran lebih awal, tetapi ketika itu lawan masih mempunyai peluang untuk bertindak balas. Sebab itu saya menunggu sehingga rehat hidrasi. Itu adalah keputusan yang tepat hari ini,” kata Yakin.

Jurulatih Switzerland itu turut mendedahkan beliau memberitahu Vargas iaitu salah seorang pemain serangan paling berbahaya pasukan itu, bahawa dia perlu menunggu peluangnya.

“Saya katakan kepada Vargas bahawa saya akan masukkannya apabila pasukan lawan mula menunjukkan tanda-tanda keletihan.

“Kami memasukkannya pada masa yang tepat. Hari ini adalah hasil keputusan taktikal,” kata Yakin.

Manzambi, 20, membuktikan keputusan perancangan itu tepat dengan menjaringkan dua gol serta mempamerkan aksi yang bertenaga.

“Dia seorang yang ceria dan memiliki banyak kualiti dalam bola sepak.

“Dia boleh menggelecek, menjaringkan gol dan memberikan tekanan besar kepada lawan. Dia boleh mengejutkan kami sama seperti dia mengejutkan pasukan lawan,” kata Yakin mengenai pemain SC Freiburg itu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top