Isabella Rousso azimat sakti Martinelli

Isabella Rousso azimat sakti Martinelli

sukan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Kelincahan jentera serangan skuad kebangsaan Brazil dan Arsenal, Gabriel Martinelli di atas padang sentiasa mencuri tumpuan ramai, namun kelibat tunangnya, Isabella Rousso di bangku penonton turut menjadi buruan lensa kamera.

Pemain sayap lincah yang pernah merangkul pingat emas Olimpik Tokyo 2020 itu adalah tonggak utama The Gunners dan memegang rekod unik kerana kelab itu tidak pernah tewas setiap kali dia meledak gol.

Walaupun bakal mendirikan rumah tangga dengan bintang juara Liga Perdana Inggeris (EPL) musim 2025/2026 yang baru sahaja menyambut hari lahir ke-25 semalam, wanita jelita kelahiran Rio de Janeiro ini teguh dengan identitinya sendiri sebagai pelajar perubatan tahun akhir serta pempengaruh media sosial.

Isabella yang berusia 24 tahun cemerlang membuktikan kemampuannya mengimbangi tuntutan jadual padat di makmal perubatan dengan dunia fesyen berstatus ikon digital di kota metropolitan London.

Bibit cinta pasangan merpati dua sejoli ini pada awalnya mula berputik sekitar tahun 2022 selepas mereka berdua kerap meluangkan masa bersama.

Hubungan itu akhirnya melangkah ke fasa yang lebih serius dan romantis apabila Martinelli bertindak melamar Isabella dalam sebuah majlis kejutan pada Mac 2025 yang lalu.

Menerusi akaun Instagram rasminya @isabellarrousso yang mempunyai lebih 229,000 pengikut, Isabella kerap berkongsi kandungan estetik mewah seperti fesyen OOTD (Outfit of the Day) bertemakan clean girl, vlog percutian ke destinasi menarik serta coretan motivasi tentang kehidupannya di makmal.

Diiktiraf sebagai penyokong nombor satu Martinelli, dia kerap mencuri perhatian lensa kamera di Stadium Emirates dengan menggayakan jaket denim tempahan khas yang memaparkan lukisan visual besar gaya keraian ikonik tunangnya di bahagian belakang pakaian tersebut.

Isabella pernah tular di media sukan antarabangsa apabila teks WhatsApp miliknya yang meramal bahawa Martinelli akan dimasukkan pada babak kedua untuk menjaringkan gol kemenangan menentang Manchester City benar-benar menjadi kenyataan.

Dengan bahang saingan Piala Dunia FIFA 2026 di Amerika Utara yang rancak berlangsung ketika ini, kehadiran Isabella di bilik VIP stadium terus menjadi tumpuan petugas media saat memberikan sokongan padu kepada pasukan Selecao.

Susulan skuad Selecao yang sekadar mencatatkan keputusan seri 1-1 menentang Maghribi pada aksi pembukaan Kumpulan C minggu lalu, sokongan moral berterusan daripada Isabella kini ditagih sebagai ‘tangkal azimat’ paling penting buat Martinelli dalam misi memburu gelaran kejuaraan dunia buat kali keenam.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top