SULTAN Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al Mustafa Billah Shah berkenan merasmikan pembukaan semula Padang Golf Resorts World Awana (RWA) yang dinaik taraf sepenuhnya selepas melalui proses pembangunan semula secara menyeluruh.
Resort World Genting dalam satu kenyataan berkata, pembukaan semula padang golf tersebut menandakan satu lagi pencapaian penting selepas pelancaran Eufloria Gardens & Sculpture Park baru-baru ini.
Menurut kenyataan itu, pembangunan semula tersebut mencerminkan komitmen berterusan Resorts World Genting dalam menawarkan pengalaman pelancongan dan rekreasi berteraskan alam semula jadi yang menonjolkan keunikan persekitaran tanah tinggi Genting.
“Padang Golf Resorts World Awana yang mula beroperasi pada 1986 telah melalui transformasi menyeluruh melibatkan kesemua 18 lubang permainan.
“Naik taraf tersebut merangkumi reka bentuk semula kawasan green, fairway, bunker dan tee, selain penambahbaikan susun atur beberapa lubang terpilih serta pengenalan satu lubang baharu.
“Padang golf yang diperbaharui itu turut menampilkan tee Black dan Gold baharu, sistem saliran dan pengairan dipertingkatkan, kawasan green yang diperluaskan serta penggunaan rumput Zoysia Matrella lebih tahan lasak bagi memastikan kualiti padang konsisten, selain pengalaman permainan lebih baik sepanjang tahun,” menurut kenyataan tersebut pada Jumaat.
Majlis perasmian itu turut dihadiri Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail; Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dan Penasihat Kanan Politik kepada Perdana Menteri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.
Turut hadir, Pengerusi Genting Malaysia Berhad (GENM), Jeneral Datuk Seri Diraja Tan Sri (Dr) Mohd Zahidi Zainuddin (B) dan Presiden GENM, Lee Thiam Kit.
Tambah kenyataan itu, selain meningkatkan pengalaman bermain golf, projek pembangunan semula itu turut menitikberatkan aspek pemeliharaan alam sekitar.
Jelasnya, kira-kira dua pertiga daripada kawasan padang golf berkenaan dikekalkan sebagai hutan semula jadi, membolehkan pemain menikmati pengalaman bermain golf di tanah tinggi yang unik dengan latar udara segar pergunungan, kehijauan hutan hujan tropika serta suasana berkabus mengikut musim.
“Naik taraf itu juga mengukuhkan lagi kedudukan Resorts World Genting sebagai destinasi riadah dan pelancongan utama negara dengan menawarkan pengalaman golf moden bertaraf kejohanan dalam persekitaran resort yang indah dan berprestij.
“Para pemain golf dan pengunjung kini berpeluang merasai sendiri pengalaman baharu di Padang Golf Resorts World Awana yang telah dinaik taraf, sambil menikmati gabungan keindahan alam semula jadi, suasana pergunungan dan reka bentuk padang yang dirancang dengan teliti,” katanya.



