zanariah_mutalib@bh.com.my
Kuala Lumpur: Dakwaan bahawa kegagalan Perikatan Nasional (PN) menubuhkan kerajaan selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) berpunca daripada sikap hasad dengki seorang individu yang enggan memberi laluan kepada calon lain untuk dilantik sebagai Perdana Menteri adalah tidak benar.
Bekas Setiausaha Sulit Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Dr Marzuki Mohamad, berkata beliau percaya dakwaan Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal itu merujuk kepada Muhyddin, namun mendakwa Presiden BERSATU itu bertindak berdasarkan tuntutan perlembagaan.
Marzuki mendakwa, beliau berurusan secara langsung dengan pihak Istana Negara dalam urusan calon Perdana Menteri daripada PN, namun tidak pernah dimaklumkan yang Istana Negara meminta satu nama lain daripada PN sebagai calon Perdana Menteri.
“Menurut kenyataannya (Wan Ahmad Fayhsal), Haji Hadi (Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang) menuduh individu itu (Muhyiddin) berhasad dengki.
“Ini tuduhan yang amat berat. Saya ingin memperbetulkan faktanya,” kata beliau dalam Facebooknya, hari ini.
Marzuki mendakwa, selepas PRU15, Muhyiddin mendapat sokongan 114 Ahli Dewan Rakyat, termasuk semua Ahli Dewan Rakyat Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan 10 Ahli Dewan Rakyat Barisan Nasional (BN) untuk dilantik sebagai Perdana Menteri, dan jumlah itu melepasi majoriti mudah 112 Ahli Dewan Rakyat.
Bagaimanapun dakwa beliau, pada 22 November 2022, Istana Negara mengeluarkan kenyataan bahawa tidak ada seorang pun calon yang mendapat sokongan majoriti untuk dilantik sebagai Perdana Menteri dan beliau difahamkan, ia berpunca daripada sokongan 10 Ahli Dewan Rakyat BN kepada Muhyiddin yang dipertikaikan.
Pada pagi 24 November, Raja-Raja Melayu bersidang di Istana Negara untuk membincangkan perkara mengenai pelantikan Perdana Menteri dan beliau difahamkan, hanya dua calon yang dipertimbang, iaitu Muhyiddin dan Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Pada pagi yang sama, Haji Hadi dan Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man datang ke rumah Tan Sri Muhyiddin mengemukakan nama (Datuk Seri) Hamzah Zainuddin sebagai calon Perdana Menteri daripada PN untuk diangkat kepada Yang di-Pertuan Agong.
“Tan Sri Muhyiddin memberitahu mereka, 114 Akuan Bersumpah (SD) Ahli Dewan Rakyat adalah untuk memberikan sokongan kepada beliau sebagai Perdana Menteri, bukan kepada Hamzah.
“Jika Hamzah ingin menamakan dirinya sebagai Perdana Menteri, beliau perlu berjumpa dan mendapatkan persetujuan semua Ahli Dewan Rakyat ini untuk membuat SD baharu yang memberikan sokongan kepadanya sebagai Perdana Menteri.
“Tan Sri Muhyiddin tidak boleh memindahkan sokongan Ahli Dewan Rakyat kepadanya kepada Hamzah. Ini kerana kehendak Perlembagaan Persekutuan yang memerlukan seorang Ahli Dewan Rakyat yang hendak dilantik sebagai Perdana Menteri mesti mendapat kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat yang lain.
“Jika Tan Sri Muhyiddin bersetuju sekali pun tetapi Ahli Dewan Rakyat yang lain termasuk dari GPS, GRS dan BN tidak bersetuju, maka kehendak Perlembagaan Persekutuan tidak dapat dipenuhi.
“Ini bukan soal memberi laluan. Ini adalah soal perlembagaan. Lagi pun cadangan untuk mengemukakan nama Hamzah datang di saat akhir,” dakwanya.
Marzuki mendakwa, ketika perbincangan masih belum selesai, mereka menerima berita bahawa Anwar diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong untuk dilantik sebagai Perdana Menteri.
“Jika benarlah Haji Hadi menuduh Tan Sri Muhyiddin berhasad dengki seperti yang didakwa oleh Wan Fahysal, ini adalah satu tuduhan yang amat tidak adil kepada Tan Sri Muhyiddin. Allah lebih mengetahui,” katanya.
Semalam, media melaporkan, Wan Ahmad Fayhsal mendakwa kegagalan PN membentuk kerajaan selepas PRU15 berpunca daripada sikap hasad dan ego seorang individu yang enggan memberi laluan kepada calon lain.
Bekas Ketua ARMADA BERSATU mendakwa, perkara itu didedahkan oleh Abdul Hadi.
© New Straits Times Press (M) Bhd




