Kuota diesel 5,000 liter hanya bertahan 10 hari-pemain industri

Kuota diesel 5,000 liter hanya bertahan 10 hari-pemain industri

KUALA LUMPUR: Pengurangan kuota diesel bersubsidi daripada 6,999 liter kepada 5,000 liter dijangka memberi tekanan besar kepada industri pengangkutan serta meningkatkan kos operasi syarikat, khususnya pengusaha lori treler di seluruh negara.

Pemain industri pengangkutan dan logistik, Daniel Khoo berkata, kuota sedia ada ketika ini sudah dianggap tidak mencukupi bagi kebanyakan syarikat, terutama yang terlibat dalam penghantaran jarak jauh.

Beliau yang memiliki syarikat pengangkutan lori treler sejak lebih sedekad berkata, keadaan itu bukan sahaja menjejaskan kelangsungan operasi syarikat, malah berpotensi memberi kesan kepada rantaian bekalan serta pelbagai sektor ekonomi yang bergantung kepada industri logistik.

Katanya, syarikat yang melakukan penghantaran dari Pantai Timur ke Utara atau dari Utara ke Selatan berkemungkinan menghabiskan kuota 5,000 liter dalam tempoh kira-kira 10 hari sahaja.

“Selepas kuota itu habis digunakan, syarikat terpaksa membeli diesel pada harga pasaran yang lebih tinggi dan ini akan meningkatkan kos operasi secara mendadak.

“Keadaan ini memberi tekanan besar kepada syarikat pengangkutan yang sememangnya sedang berdepan pelbagai cabaran operasi,” katanya.

Kuota diesel 5,000 liter hanya bertahan 10 hari-pemain industri

Daniel berkata, situasi itu boleh menjadi lebih membimbangkan sekiranya kuota subsidi habis digunakan dalam tempoh yang singkat sehingga memaksa sesetengah pengusaha menghentikan operasi lori buat sementara waktu.

“Kalau subsidi sudah habis dalam tempoh dua minggu, lori terpaksa ‘parking’ kerana syarikat tidak mampu menanggung kos diesel yang mahal.

“Apabila lori tidak bergerak, pekerja pula tidak mempunyai kerja dan seterusnya tiada pendapatan. Ini bukan sahaja menjejaskan majikan dan pekerja, malah akan memberi kesan kepada keseluruhan ekosistem ekonomi,” katanya.

Beliau berkata, industri pengangkutan memainkan peranan penting sebagai penggerak utama ekonomi negara kerana hampir semua sektor, termasuk pembinaan, perlombongan pasir dan batu serta perkilangan, bergantung kepada perkhidmatan logistik.

Menurutnya, pengurangan kuota subsidi turut memberi kesan kepada lori bersaiz besar, termasuk lori 10 tayar sehingga 26 tayar yang digunakan untuk mengangkut bahan mentah.

“Ramai tidak sedar bahawa industri pengangkutan adalah tulang belakang ekonomi negara. Jika kos operasi terus meningkat, kesannya akhirnya akan dirasai oleh seluruh rantaian industri dan Tambah beliau, pengusaha lori kini berdepan dilema untuk mengekalkan operasi tanpa melanggar peraturan yang ditetapkan.

“Pada masa sama, banyak syarikat turut berdepan cabaran apabila harga dalam sektor perlombongan semakin menurun, menyebabkan margin keuntungan menjadi semakin kecil,” katanya.

Katanya lagi, meskipun tindakan penguatkuasaan diambil, namun mengurangkan muatan pula menyukarkan syarikat untuk menampung kos operasi.

Sehubungan itu, beliau berharap kerajaan dapat mempertimbangkan semula kadar kuota subsidi dan mengembalikannya seperti sebelum ini bagi memastikan industri tersebut terus bertahan.

Pada masa sama, beliau mencadangkan agar usaha membanteras ketirisan diesel bersubsidi dipertingkatkan melalui penguatkuasaan yang lebih menyeluruh di sempadan dan stesen minyak.

“Jika berlaku penyalahgunaan subsidi, tindakan perlu diambil terhadap pihak yang bertanggungjawab dan bukannya sehingga membebankan pemain industri pengangkutan yang sah.

“Jangan kerana mahu membendung ketirisan, industri pengangkutan yang menjadi antara penyumbang penting kepada ekonomi negara pula terpaksa menanggung kesannya,” katanya.-UTUSAN

Scroll to Top