BEIJING – Seorang lelaki di wilayah Zhejiang, China menghabiskan kira-kira 200,000 yuan (RM122,230) mengubah suai dan menghias rumah baharunya tanpa menyedari ia sebenarnya milik jiran sebelah.
Kesilapan itu hanya disedari selepas enam bulan ketika individu tersebut mahu berpindah masuk.
Menurut ETtoday, kekeliruan itu disebabkan pemaju perumahan tersilap memasang nombor unit milik lelaki berkenaan pada pintu rumah jirannya semasa proses penyerahan kunci.
Nombor unit 104 yang dimiliki lelaki itu dipasang pada pintu unit 103 milik jirannya.
Lelaki itu dikatakan tidak memeriksa nombor unit, pelan rumah dan kedudukannya dengan teliti kerana kedua-dua unit mempunyai susun atur yang hampir sama.
Berang dengan kejadian itu, pemilik unit 104 menuntut ganti rugi, namun semua pihak gagal mencapai kata sepakat mengenai pihak yang perlu bertanggungjawab dan jumlah pampasan yang perlu dibayar.
Susulan itu, pemilik unit 104 memfailkan saman terhadap pemaju perumahan dan turut menamakan syarikat pengurusan hartanah sebagai defendan bersama manakala pemilik unit 103 disenaraikan sebagai pihak ketiga.
Hakim kemudiannya memutuskan bahawa pemaju perlu memikul tanggungjawab utama kerana gagal mengesahkan maklumat hartanah dengan betul semasa proses penyerahan rumah.
Selain itu, syarikat pengurusan hartanah turut didapati cuai kerana gagal mengesan kesilapan tersebut semasa pemeriksaan dan proses penyerahan dijalankan. – Agensi



