AKSI peminat Jepun yang membantu membersihkan stadium selepas perlawanan Piala Dunia 2026 terus mencuri perhatian dunia, namun tradisi itu kini mencetuskan perdebatan hangat di media sosial.
Sikap berdisiplin penyokong Jepun yang mengutip sampah di tempat duduk selepas aksi Kumpulan C menentang Belanda di Arlington, sebelum ini mendapat pujian meluas termasuk daripada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) yang berkongsi video penghargaan terhadap tindakan berkenaan.
Amalan sama yang mula dipopularkan sejak Piala Dunia 2022 di Qatar itu sekali lagi mengukuhkan reputasi penyokong Jepun sebagai antara paling berdisiplin dalam arena bola sepak dunia.
Bagaimanapun, imej positif itu berubah apabila satu hantaran tular di platform X mencetuskan perdebatan, apabila ada yang mempersoalkan sama ada amalan tersebut benar-benar diterapkan dalam kehidupan seharian di Jepun.
Hantaran berkenaan turut memaparkan poster sindiran yang membandingkan lelaki Jepun yang mengutip sampah di stadium dengan pembahagian kerja rumah di kediaman, sekali gus menggesa agar perkara sama dilakukan di rumah dan tidak meletakkan beban tugas mengemas rumah kepada isteri semata-mata.
Perdebatan itu turut disokong beberapa pengguna lain yang merujuk data Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD), mendakwa lelaki Jepun menghabiskan masa jauh lebih sedikit untuk kerja rumah dan penjagaan anak berbanding negara maju lain.
Bagaimanapun, ada juga pengguna yang mempertahankan penyokong Jepun dengan menyifatkan kritikan itu tidak adil dan terlalu menyempitkan sudut pandang terhadap budaya mereka.
Dalam perkembangan lain, Jepun akan menentang Tunisia dalam aksi kumpulan di Stadium Monterrey, Guadalupe pada Ahad, selepas mencatat keputusan seri 2-2 menentang Belanda.



