Anggota polis cedera jatuh bukit ketika program komuniti

Anggota polis cedera jatuh bukit ketika program komuniti

mdroji@bh.com.my

Kuching: Seorang anggota polis yang terbabit dalam program bersama komuniti di Kampung Sapit, Padawan cedera selepas tergelincir dan terjatuh ke dalam cerun sedalam kira-kira enam meter, hari ini.

Mangsa, Norhishamudin Mohd Ighar, 43, cedera di bahagian belakang badan selain luka pada tangan dan kepala dalam kejadian yang berlaku kira-kira jam 12 tengah hari.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 12.20 tengah hari sebelum menggerakkan sepasukan enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Siburan ke lokasi kejadian.

Beliau berkata, pasukan bomba yang dibantu unit Perkhidmatan Penyelamatan dan Perawatan Kecemasan (EMRS) tiba di lokasi pada jam 2.08 petang selepas menempuh perjalanan sejauh 42 kilometer melalui laluan sempit dan berbukit curam.

“Setibanya di lokasi, didapati mangsa berada dalam keadaan cedera dan kemudian diberikan rawatan awal oleh pasukan EMRS termasuk pemasangan cervical collar sokongan anggota badan bahagian atas pada tangan kiri serta ditempatkan di atas spinal board bagi mengelakkan kecederaan bertambah serius,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, mangsa kemudian diusung menggunakan Fordable Stretcher (Must) Multifunction Stretcher, iaitu peralatan rekaan Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) BBP Siburan, untuk dibawa turun ke kaki bukit.

Menurutnya, operasi turut mendapat bantuan dua anggota Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang memberikan rawatan awal sebelum mangsa diserahkan kepada pasukan EMRS untuk dihantar ke Hospital Umum Sarawak (HUS) bagi mendapatkan rawatan lanjut.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top