am@hmetro.com.my
Johor Bahru: Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail bertitah agar Kerajaan Persekutuan mengembalikan sebahagian hasil yang dikutip daripada Johor secara lebih munasabah bagi membolehkan pembangunan negeri dan kebajikan rakyat dilaksanakan dengan lebih berkesan.
Baginda bertitah, Johor menyumbang lebih RM40 bilion setahun kepada kerajaan Persekutuan, namun hanya sekitar RM2 bilion hingga RM3 bilion dipulangkan semula kepada negeri itu untuk memenuhi keperluan hampir lima juta penduduk.
Tunku Mahkota Ismail berkata demikian ketika mengulas kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sebelum ini menyifatkan Johor sebagai negeri kaya, namun berdepan masalah kebocoran.
“Sahabat saya, Perdana Menteri, baru-baru ini membuat satu kenyataan mengatakan Johor ini negeri kaya tetapi banyak bocor.
“Ya, memang banyak bocor. Kerajaan Persekutuan yang bocorkan Johor,” titah baginda dalam sesi bersama rakyat Johor hari ini.
Baginda bertitah, keadaan itu menyebabkan banyak keperluan asas rakyat terpaksa menunggu kelulusan dan peruntukan daripada kerajaan Persekutuan, termasuk kerja membaiki sekolah, menaik taraf hospital serta membaik pulih jalan raya.
“Apabila kita memberi hasil negeri kita lebih RM40 bilion setahun dan dipulangkan hanya RM2 bilion hingga RM3 bilion untuk menjaga 4.9 juta rakyat Johor, bagaimana?
“Benda itu tidak logik,” titah baginda.
Sehubungan itu, baginda berpandangan sekurang-kurangnya 25 hingga 30 peratus hasil yang dikutip daripada Johor wajar dikembalikan kepada negeri bagi membolehkan lebih banyak projek pembangunan dan kebajikan rakyat dilaksanakan.
Tunku Mahkota Ismail turut membangkitkan isu kelewatan beberapa projek kesihatan utama di negeri ini termasuk Hospital Pasir Gudang, kekurangan doktor dan petugas kesihatan serta kelulusan Hospital Sultanah Aminah 2 yang masih belum dimuktamadkan.
Baginda bertitah, Hospital Pasir Gudang pernah berdepan risiko pembatalan sebelum baginda secara konsisten mendesak selama empat tahun bagi memastikan projek itu diteruskan demi kepentingan rakyat.
Bagaimanapun, hospital berkenaan masih beroperasi dengan kekurangan doktor dan kakitangan sehingga menjejaskan penyampaian perkhidmatan kesihatan.
“Siapa yang susah? Rakyat yang susah atau orang atasan yang susah? Rakyat yang susah,” titah baginda.
Menurut baginda, kelewatan beberapa projek penting itu antara faktor yang mengekang pembangunan Johor walaupun negeri berkenaan memainkan peranan besar dalam menyumbang kepada ekonomi negara.
Baginda turut menegaskan tuntutan supaya lebih banyak hasil negeri dikembalikan bukan bertujuan mewujudkan konflik dengan kerajaan Persekutuan, sebaliknya bagi memastikan kebajikan rakyat Johor terus terbela serta pembangunan negeri dapat dipercepatkan.
“Kita bukan mahu bermusuh, berdepan dengan sesiapa atau memberi masalah kepada kerajaan yang mentadbir negara.
“Tetapi mereka kena menjaga kita sebagai rakan. Sudah tiba masanya Kerajaan Persekutuan mengambil serius kehidupan rakyat Johor, kesejahteraan rakyat dan pembangunan negeri Johor,” titah baginda.
© New Straits Times Press (M) Bhd




