Kuala Lumpur: Kecerdasan buatan (AI) dilihat berpotensi menjadi pemangkin utama dalam memperkasakan kepimpinan wanita, meningkatkan keupayaan membuat keputusan serta membuka lebih banyak peluang dalam pelbagai sektor ekonomi dan sosial.
Perkara itu menjadi fokus utama forum AI SHE LEADS yang berlangsung di Dewan Federal, Bangunan Sultan Abdul Samad, baru-baru ini, menghimpunkan lebih 300 wanita eksekutif, pemimpin baharu dan pengamal industri dari Malaysia, ASEAN serta rantau Asia Pasifik.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, pembangunan teknologi AI perlu berteraskan manusia, nilai dan komuniti bagi memastikan manfaatnya dapat dinikmati secara menyeluruh.
Menurut beliau, wanita bukan sahaja perlu menyesuaikan diri dengan perubahan teknologi yang pesat, malah perlu memainkan peranan penting dalam menentukan hala tuju pembangunan teknologi pada masa depan.
“Teknologi bukan sekadar mengenai mesin, ia adalah mengenai manusia, nilai-nilai kita, komuniti kita dan masa depan kita,” katanya ketika merasmikan forum berkenaan.
Nancy berkata, berdasarkan pengalaman di Sarawak, penggunaan AI berupaya membantu meningkatkan keupayaan usahawan wanita di pelbagai lokasi termasuk kawasan luar bandar dan rumah panjang, sekali gus merapatkan jurang digital.
Beliau berkata, kepentingan pembangunan AI yang beretika serta menggesa lebih ramai wanita tampil memegang peranan kepimpinan dalam sektor berkaitan teknologi.
Dalam perkembangan sama, Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Azlinda Azman berkata institusi pendidikan tinggi memainkan peranan penting dalam melahirkan pemimpin wanita yang bersedia menghadapi cabaran era digital.
Beliau berkata, Kementerian Pendidikan Tinggi sudah membangunkan AIMI, iaitu kaunselor maya berasaskan AI yang bertujuan menyokong kesejahteraan dan kesihatan mental pelajar.
Sementara itu, hos AI SHE LEADS, Jaffri Amin Osman berkata walaupun teknologi AI semakin menjadi sebahagian daripada kehidupan harian dan digunakan secara meluas di seluruh dunia, wanita tetap memainkan peranan besar dalam membentuk perjalanan kepimpinan seseorang.
Forum itu turut menampilkan sesi panel Asia Pasifik yang membincangkan bagaimana AI sedang mengubah landskap kepimpinan wanita di peringkat serantau, khususnya dalam aspek komunikasi, inovasi dan pembangunan bakat.
Program berkenaan adalah sebahagian daripada KLIP 8 dan menjadi platform untuk mengangkat suara wanita dalam agenda transformasi digital, selain menggalakkan pembangunan teknologi yang lebih inklusif dan seimbang.
Penganjur berharap forum itu dapat terus menjadi pemangkin kepada usaha memperkukuh keterangkuman digital serta memastikan wanita memainkan peranan yang lebih besar dalam membentuk masa depan teknologi di Malaysia dan rantau Asia Pasifik.
© New Straits Times Press (M) Bhd




