IPOH – Selepas hampir enam tahun meninggalkan parti, bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Titi Serong, Hasnul Zulkarnain Abd Munaim kembali menyertai Parti Amanah Negara (Amanah).
Perkara itu diumumkan Pengerusi Amanah Perak, Datuk Asmuni Awi ketika Mesyuarat Tahunan Amanah Kawasan Tambun 2026 di sebuah hotel di sini pada Ahad.
Menurut Asmuni, permohonan Hasnul Zulkarnain untuk kembali menyertai Amanah sebenarnya telah dibuat sejak sekian lama, namun hanya diproses selepas keadaan politik dilihat lebih sesuai.
Menurutnya, bekas exco kerajaan negeri Perak itu tidak meninggalkan parti kerana dipecat atau disingkirkan, sebaliknya akibat perkembangan politik ketika kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada 2020.
“Kita melihat parti-parti lain termasuk UMNO turut mengambil pendekatan menerima semula ahli-ahli yang pernah keluar atau dipecat.
“Jadi saya merasakan sudah tiba masa yang sesuai untuk kita mempertimbangkan semula permohonan Hasnul dan juga beberapa ahli lain yang berada dalam situasi yang sama,” katanya.
Beliau menjelaskan keputusan menerima semula Hasnul Zulkarnain telah dipersetujui dalam mesyuarat pengurusan dan pimpinan nasional Amanah pada 18 Jun lalu.
Katanya, penerimaan semula bekas Ketua Pemuda Amanah Nasional itu tertakluk kepada garis panduan yang sedang dirangka untuk semua bekas ahli yang diterima kembali.
Sementara itu Hasnul Zulkarnain yang ditemui berkata, permohonan untuk menyertai semula parti itu dibuat sejak tahun lalu, namun hanya mendapat pertimbangan selepas memperoleh sokongan kepimpinan parti di peringkat negeri dan nasional.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada seluruh Jawatankuasa Amanah Nasional yang telah mengembalikan semula keahlian saya.
“Pada saya, mereka masih percaya bahawa saya boleh memberikan sumbangan kepada parti khususnya Amanah Perak dan kawasan Tambun dalam usaha memenangkan semula kerusi Amanah di negeri ini serta mengukuhkan Pakatan Harapan (PH) menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16),” katanya.
Mengulas sebab memilih untuk kembali ke Amanah, Hasnul berkata, parti itu mempunyai hubungan yang rapat dengan perjalanan politiknya sejak awal penubuhan.
“Saya lahir daripada Amanah dan terlibat pada peringkat awal penubuhan parti ini. Jiwa dan semangat saya sebenarnya masih bersama rakan-rakan dalam Amanah.
“Apabila diterima semula, saya yakin dapat bekerjasama dengan lebih baik bersama rakan-rakan lama kerana nilai hubungan dan persefahaman yang telah terbina sebelum ini,” ujarnya.
Ditanya mengenai kemungkinan bertanding pada PRU16, Hasnul Zulkarnain menegaskan beliau tidak mempunyai sebarang hasrat untuk menawarkan diri sebagai calon.
“Saya memahami status saya sebagai ahli yang baru diterima semula.
“Buat masa ini saya mahu memberi sumbangan kepada parti dan mengembalikan kepercayaan yang telah diberikan,” katanya.
Pada Mac 2020, Hasnul Zulkarnain bersama dua ADUN Pakatan Harapan (PH) tiga mengumumkan keluar parti dan menjadi wakil rakyat bebas susulan pembentukan kerajaan Perikatan Nasional (PN) di Perak.
Selain Hasnul Zulkarnain, bekas ADUN Tronoh, Yong Choo Kiong dan bekas ADUN Buntong, A Sivasubramaniam masing-masing dari DAP turut menyatakan sokongan terhadap Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu sebagai Menteri Besar Perak dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).



