Kes denggi di Selangor meningkat, catat 15 kematian sejak awal tahun

Kes denggi di Selangor meningkat, catat 15 kematian sejak awal tahun

nurul.hidayah@hmetro.com.my

Ampang Jaya: Jumlah kes denggi di Selangor mencatatkan peningkatan apabila merekodkan sebanyak 15,549 kes bagi tempoh 1 Januari hingga 13 Jun lalu.

Exco Kesihatan Awam dan Alam Sekitar Negeri Selangor Jamaliah Jamaluddin berkata, terdapat peningkatan 29.9 peratus atau 3,579 kes berbanding tempoh sama pada tahun lalu yang mencatatkan 11,970 kes.

“Pada minggu epidemologi (ME) 23 iaitu bagi tempoh 7 hingga 13 Jun lalu, sebanyak 1,242 kes denggi dilaporkan dengan peningkatan 28.3 peratus atau 274 kes berbanding 968 kes pada ME 22/2026.

“Sebanyak 15 kes kematian akibat denggi dilaporkan di negeri ini dengan kadar kes kematian (CFR) sebanyak 0.09 peratus berbanding empat kes kematian dengan CFR, 0.03 peratus bagi tempoh sama pada tahun lalu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Program Pelancaran Komuniti Bersih, Indah dan Sihat Dewan Undangan Negeri (DUN) Hulu Kelang 2026 di Dewan Serbaguna Majlis Perbandaran Ampang Jaya AU5 (MPAJ), di sini, hari ini.

Turut hadir Timbalan Yang Dipertua MPAJ Hasrolnizam Shaari dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Antarabangsa Kamri Kamaruddin.

Jamaliah berkata, peningkatan kes denggi di negeri itu dipengaruhi oleh perubahan subvarian virus denggi yang kini didominasi subvarian DEN-3.

“Perubahan ini berpotensi menyumbang kepada peningkatan kes kerana tahap imuniti masyarakat terhadap serotip terbabit mungkin lebih rendah.

“Namun, peningkatan kes denggi juga didorong hasil gabungan pelbagai faktor termasuk keadaan cuaca, kepadatan populasi nyamuk Aedes serta tahap kawalan pembiakan nyamuk di lapangan,” katanya.

Sementara itu, Hasrolnizam berkata, sebanyak 748 kes denggi direkodkan di Ampang Jaya bagi tempoh 1 Januari hingga 15 Jun lalu.

“Terdapat 13 lokaliti wabak denggi terkawal di daerah ini termasuk Taman Keramat, Kampung Melayu Ampang, Taman Melawati, Taman Sri Raya, Taman Bukit Indah, Taman Ukay Perdana dan Kampung Ampang Campuran.

“Di daerah ini, terdapat satu lokaliti ‘hotspots’ bagi kes denggi iaitu Kampung Bukit Sungai Puteh.

“Secara keseluruhannya, kes denggi di daerah ini adalah terkawal,” katanya.

Hasrolnizam berkata, pelbagai inisiatif dilakukan pihaknya bagi mengatasi isu denggi di Ampang Jaya termasuk menerusi Program Kawalan dan Pencegahan Demam Denggi.

“MPAJ menerima peruntukan sebanyak RM228,500 daripada kerajaan negeri melalui Jawatankuasa Tetap Kesihatan Awam Negeri Selangor bagi pelaksanaan Program Kawalan dan Pencegahan Demam Denggi.

“Peruntukan itu dimanfaatkan untuk pelaksanaan tindakan penguatkuasaan, program pendidikan kesihatan, promosi kesedaran awam serta pengaktifan pasukan sukarelawan COMBI dalam komuniti,” katanya.

Selain itu, katanya, MPAJ juga memperkenalkan inisiatif baharu melalui program Kopi dan COMBI bagi menggalakkan orang ramai menyertai program membasmi denggi.

“Setiap isi rumah yang membersihkan kediaman mereka daripada tempat pembiakan Aedes dan membawa barangan kitar semula pada kadar minimum 5 kilogram (kg) ke kaunter ‘Trash to Cash’ boleh menebus secawan kopi di kaunter disediakan.

“Kami juga memperkenalkan inisiatif kitar semula dengan individu boleh memilih sama ada menerima bayaran secara tunai atau membayar tunggakan cukai semasa.

“Antara bahan yang boleh dikitar semula adalah minyak masak terpakai dengan bayaran RM3 sekilogram, kertas, surat khabar, kertas dan sisa elektronik (20 sen sekilogram), besi (40 sen sekilogram) serta aluminium (RM1 sekilogram),” katanya.

Beliau berharap pelaksanaan inisiatif itu dapat memupuk sikap kebersihan dalam kalangan komuniti selaras dengan hasrat untuk mewujudkan komuniti yang bersih, indah dan sihat di kawasan MPAJ.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top